utama

Kes Altantuya: Tak keluar sejak 15 April 2015

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

JABATAN Penjara Malaysia mengesahkan bekas pegawai Unit Tindakhas (UTK) Azilah Hadri tidak pernah dibawa keluar dari Penjara Kajang sepanjang tahun ini.

Menurut kenyataan media jabatan itu di Kuala Lumpur hari ini, Azilah tidak pernah dibawa keluar dari Penjara Kajang sejak 15 April 2015.

“Kali terakhir dia dibawa keluar dari Penjara Kajang bagi urusan menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Sepang.

“Tugas mengiringnya bagi menghadiri perbicaraan itu dilakukan selepas Penjara Kajang menerima Perintah Mengemukakan Orang Dalam Jagaan dari Mahkamah Sepang mengikut Seksyen 30 Akta Penjara yang mengkehendaki banduan menghadirkan diri di mahkamah seperti mana masa dan tempat dinyatakan.

“Berdasarkan rekod, Azilah tidak pernah dibenarkan untuk dibawa keluar dari penjara untuk apa-apa jua urusan selepas tarikh itu,” katanya.

Kenyataan itu juga memaklumkan rekod lawatan dan perjumpaan juga menunjukkan Azilah dilawati sebanyak 34 kali oleh keluarga dan 15 kali oleh peguamnya sejak setahun lalu.

“Lawatan dilakukan seperti mana Peraturan 179 Peraturan Penjara 2000 berhubung lawatan kepada mana-mana banduan akhir.

“Oleh itu, sebarang kenyataan oleh mana-mana pihak yang menyatakan Azilah dibawa keluar dari Penjara Kajang pada tahun ini untuk menemui VVIP adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

Semalam, media melaporkan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Razak mendakwa Azilah yang disabitkan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu dibawa keluar dari Penjara Kajang untuk berjumpa seorang VVIP pada Februari lalu.

Muhammad Shafee mendakwa pertemuan itu berlaku di luar penjara dan dilihat sebagai pelan terancang yang diatur untuk mengaitkan anak guamnya dengan pembunuhan Altantuya.

Sebelum ini, Azilah membuat dakwaan mengejutkan melalui SD bertarikh 17 Disember lalu mendakwa menerima arahan daripada Najib untuk membunuh Altantuya.

Azilah membuat dakwaan itu ketika sedang menanti hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh Altantuya.

Memetik laporan Malaysiakini, dia mendakwa bersama bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar hanya mengikuti arahan ‘shoot to kill’ (tembak mati) sebagai anggota pasukan UTK.

Dia mendakwa terdapat keterangan tidak dikemukakan ketika prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Pada 13 Januari 2015, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman mati terhadap Azilah dan seorang lagi anggota UTK, Sirul Azhar Umar selepas didapati bersalah membunuh Altantuya.

Berita berkaitan

Kes Altantuya: Najib dakwa Azilah terdesak

Kes Altantuya: Permohonan Azilah didengar April depan

'Daddyku bukan pembunuh'

'Jalan untuk tahan, penjarakan saya' - Najib

'Najib arah tangkap, hapuskan Altantuya' - Azilah

Disiarkan pada: December 18, 2019 @ 2:42pm
d