utama

'Sudah pasti mereka nafikan' - Muhammad Shafee

Oleh Murni Wan Omar

“ADAKAH kamu merasakan mereka boleh mengaku? Mereka menggantung diri sendiri, sudah pasti mereka menafikan!” kata peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung jawapan Penjara Kajang berhubung isu membabitkan bekas pegawai Unit Tindakhas (UTK), Azilah Hadri.

Dalam kenyataan beliau semalam, Muhammad Shafee mendakwa Azilah pernah dibawa keluar dari Penjara Kajang untuk berjumpa dengan ‘VVIP’.

Apabila ditanya berhubung identiti ‘VVIP’ itu, Muhammad Shafee berkata, beliau tidak boleh memberi nama mereka dan sedang berbuat sesuatu mengenainya.

Beliau, bagaimanapun, enggan mengulas lanjut dan terus berlalu meninggalkan wartawan.

Jabatan Penjara hari ini menafikan dakwaan Muhammad Shafee bahawa mereka membenarkan Azilah dibawa keluar untuk bertemu ‘VVIP’ pada Februari lalu.

Dalam kenyataan media jabatan itu di Kuala Lumpur hari ini, Azilah tidak pernah dibawa keluar dari Penjara Kajang sejak 15 April 2015.

Kali terakhir Azilah dibawa keluar adalah bagi urusan menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Sepang.

Kenyataan itu juga memaklumkan rekod lawatan dan perjumpaan juga menunjukkan Azilah dilawati sebanyak 34 kali oleh keluarga dan 15 kali oleh peguamnya sejak setahun lalu.

Semalam, media melaporkan Muhammad Shafee yang mewakili Datuk Seri Najib Razak mendakwa Azilah yang disabitkan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu dibawa keluar dari Penjara Kajang untuk berjumpa seorang VVIP pada Februari lalu.

Muhammad Shafee mendakwa pertemuan itu berlaku di luar penjara dan dilihat sebagai pelan terancang yang diatur untuk mengaitkan anak guamnya dengan pembunuhan Altantuya.

Sebelum ini, Azilah membuat dakwaan mengejutkan melalui SD bertarikh 17 Disember lalu mendakwa menerima arahan daripada Najib untuk membunuh Altantuya.

Pada 13 Januari 2015, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman mati terhadap Azilah dan seorang lagi anggota UTK, Sirul Azhar Umar selepas didapati bersalah membunuh Altantuya.

Disiarkan pada: December 18, 2019 @ 8:19pm
d