utama

4 sahabat satu pentas

Oleh Rudy Imran Shamsudin

SELEPAS berjaya mengadakan konsert bersama bekas penyanyi kumpulan New Boyz, Tomok di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 28 November lalu, kini Black memanggil dua lagi teman baiknya iaitu Hazama dan Akim untuk bergabung dalam satu konsert.

Gabungan kali pertama ini cukup menarik kerana keempat-empat mereka penyanyi popular dan berpengalaman.

Konsert menggabungkan Black, Tomok, Hazama dan Akim itu menggunakan nama Konsert 4G’s yang akan berlangsung pada 17 dan 18 April tahun depan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Black ketika ditemui berkata, dia sudah lama mencadangkan gabungan itu sejak mereka bersama-sama menjayakan program realiti Mentor Melinia 2016.

“Memang susah nak menghimpunkan kawan saya ni. Bayangkan cadangan pada 2016, tapi 2020 baru dapat dilaksanakan.

“Itu pun saya terpaksa ‘ikat’ mereka awal dengan meminta jadual kerja masing-masing. Akhirnya semua beri kata putus April 2020 barulah mereka lapang.

“Sebaik mendapat lampu hijau saya terus membuat kertas kerja ini dan cari penganjur. Akhirnya Belbis Sdn Bhd sudi bekerjasama menganjurkan Konsert 4G’s di Istana Budaya,” katanya.

Menggabungkan rakan sendiri dan berkongsi pentas mungkin bukan mudah. Tambahan pula keempat-empat penyanyi ini mempunyai genre muzik tersendiri yang diketengahkan. Begitu juga dengan kelompok peminat.

Sebelum ini ada penganjur yang menganjurkan konsert gabungan penyanyi popular, tetapi ia gagal dan kurang mendapat sambutan.

Peminat memberi alasan mereka tidak suka menyaksikan konsert yang menampilkan banyak artis kerana ia tidak fokus dan mereka tidak puas menghayati persembahan secara langsung itu.

Ia berbeza sekiranya konsert dibuat itu berkonsepkan festival muzik dan persembahan berlangsung dalam tempoh panjang.

Menjelaskan mengenai perkara ini, Tomok berkata, mereka menyedari perkara itu dan sebab itu juga mereka tampil dengan konsep berbeza.

“Kami tidak akan tampil menyanyikan lagu kami sendiri, tetapi akan menyanyikan lagu orang lain. Antaranya lagu daripada penyanyi yang kami gemari atau idola kami berempat.

“Disebabkan itu kami akan bergabung dalam tempoh panjang untuk menjalani latihan bagi memastikan konsep yang cuba kami tampilkan ini menarik.

“Kami cuba jadikan konsert ini bukan konsert individu sebaliknya ia adalah satu corak persembahan baharu dan lebih segar,” katanya.

Hazama berkata, untuk tidak mahu peminat melihat gabungan ini dalam corak persembahan individu, mereka tak akan membabitkan seorang pun ahli kumpulan yang sering mengiringi mereka.

Contohnya dia tidak akan mengundang pemuzik kumpulannya, Penglipurlara dan Akim tidak akan memanggil anggota The Majistret.

Begitu juga Tomok dan Black yang tidak akan memanggil pemuzik yang sering mengiringi persembahan mereka.

“Kami akan menggunakan pemuzik lain. Begitu juga dengan khidmat pengarah muzik. Saya tidak akan menggunakan khidmat Genervie Kam walaupun dia isteri saya.

“Kami lakukannya kerana mahu persembahan itu nanti benar-benar lain dan menunjukkan sisi berbeza apabila kami berempat bergabung,” katanya.

Bagaimanapun, timbul persoalan kerana sebagai sahabat agak susah bekerjasama memandangkan mereka sudah biasa mengatur sendiri kerjaya nyanyian dan persembahan.

Tidakkah mereka takut gabungan ini akan menimbulkan konflik di kemudian hari?

Menjelaskan perkara itu, Akim berkata, dia akui perkara itu boleh berlaku, tetapi bekerja bersama sahabat dan rakan baik juga membuka lebih banyak ruang kebaikan.

“Kami sudah cukup kenal dan masak dengan perangai masing-masing kerana sudah lama berkawan. Mereka ini juga tempat saya berkongsi perkara peribadi. Buruk baik saya mereka kenal dan begitu juga sebaliknya.

“Melihat dari sudut itu sudah tentu kelebihan berkenaan memberikan bonus untuk kami bekerja dengan harmoni kerana masing-masing tahu cara hendak ‘mendekati’ antara satu sama lain. Kalau bertengkar hari ini, esok lusa kami sudah boleh berbaik seperti biasa," katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2019 @ 5:20am
d