utama

Ajal dua beranak

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

DUA beranak maut selepas kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Masjid di Pasir Gudang, hari ini.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, Muhammad Eijaz Firdaus Mohd Izuan, 2, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala bapanya, Mohd Izuan Isahak, 33, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan apabila Proton Iswara dinaiki dua beranak itu bersama seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan hilang kawalan.

“Proton Iswara dipandu mangsa dari arah pusat bandar Pasir Gudang hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum pemandu Honda Civic dari arah Taman Scientex menghala ke pusat bandar Pasir Gudang tidak sempat mengelak menyebabkan dua kereta itu berlanggar," katanya.

Beliau berkata, akibat perlanggaran itu, penumpang Proton Iswara yang juga kanak-kanak parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, pemandu kereta itu pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI).

"Bayi perempuan yang turut cedera di kepala dibawa ke HSI, manakala pemandu Honda Civic iaitu lelaki berusia 40 tahun cedera di kaki dan menerima rawatan di hospital swasta," katanya.

Menurut beliau, tiada kamera litar tertutup di lokasi kejadian dan tiada saksi bebas yang hadir membuat laporan.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: December 19, 2019 @ 2:41pm
d