utama

'Ayah... Suffiah dapat 10A'

Oleh Syaherah Mustafa

KEGIGIHAN pelajar calon Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) meredah banjir sejauh 800 meter (m) untuk mengambil keputusan peperiksaan berbaloi apabila dia mendapat keputusan cemerlang 10A.

Syarifah Suffiah Syed Abu Bakar, 16, terpaksa mengharungi banjir pagi tadi ditemani bapanya, Syed Abu Bakar Syed Daud, 60 sebelum menaiki kereta untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati, Pasir Mas.

Dia mengakui tidak dapat tidur lena kerana bimbang tidak dapat ke sekolah untuk mengambil keputusan memandangkan air sudah mula naik mendadak di kawasan rumahnya di Kampung Cabang Tiga, Bagus, Rantau Panjang.

“Alhamdulillah walaupun air naik di rumah saya masih dapat mengambil keputusan PT3 malah lebih menggembirakan apabila ia cemerlang.

“Biarpun dalam kesejukan dan sedikit basah saya tetap bersemangat memakai pakaian seragam sekolah supaya dapat merasai suasana sebenar saat mengambil keputusan.

“Saya bersyukur dengan kejayaan ini dan bangga melihat kegembiraan ibu dan ayah yang teruja dengan hasil yang saya perolehi dalam PT3,” katanya ketika ditemui di Pekan Rantau Panjang. Syarifah Suffiah yang juga anak keempat daripada enam beradik berkata, dia hanya mendapat 4A dalam ujian percubaan PT3 dan tidak menyangka memperoleh semua A dalam ujian sebenar.

“Sekarang ini saya seolah-olah gembira dalam duka. Saya bersyukur dengan keputusan yang diperolehi, namun dalam masa yang sama risau dengan keadaan banjir yang diramal lebih besar daripada gelombang pertama.

“Selesai saja mengambil keputusan dan berjumpa guru saya dan bapa terus bergegas pulang ke rumah kerana risau air yang semakin tinggi. Lagipun kami perlu segera ke kedai milik ayah untuk mengangkat barang ke tempat lebih tinggi.

“Saya berharap dengan keputusan cemerlang ini akan terus memberi semangat kepada saya untuk belajar lebih baik bagi menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seterusnya mencapai cita-cita sebagai arkitek,” katanya.

Dalam perkembangan lain, tinjauan NSTP mendapati pekan Rantau Panjang sudah dilimpahi air separas 0.4m dan sudah ditutup untuk kenderaan kecil.

Disiarkan pada: December 19, 2019 @ 3:44pm
d