utama

Nak pinjam RM10,000, lesap RM10,000 [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

BAYARAN percubaan selama tiga bulan. Itu syarat ditawarkan sindiket pinjaman wang kepada mangsa kononnya untuk memastikan peminjam mempunyai kemampuan melunaskan bayaran.

Menerusi surat kelulusan, mangsa perlu menjelaskan yuran percubaan, pentadbiran dan kos guaman bagi membolehkan permohonan mereka diluluskan dalam kadar segera.

Taktik itu dikesan Perunding Masalah Ceti Haram (PMCH) sejak beberapa bulan lalu selepas menerima aduan daripada mangsa yang ingin mendapatkan semula wang mereka yang diserahkan kepada ‘syarikat kewangan’.

Aktivis PMCH Syed Azri Syed Alwi berkata, dalam kes terbaru, seorang eksekutif swasta menjadi mangsa apabila dia kerugian RM10,000 selepas membayar yuran kepada sebuah syarikat yang dikenali menerusi Facebook (FB) bulan lalu.

“Mangsa mendapat butiran syarikat berkenaan dari FB dan kemudiannya berhubung dengan seorang individu yang meminta dokumen seperti kad pengenalan dan nombor akaun. Tidak lama kemudian, mangsa menerima kiriman WhatsApp surat kelulusan pinjaman berjumlah RM10,000 dengan ansuran selama lima tahun.

“Bagaimanapun, tidak lama kemudian, individu tadi meminta sebanyak RM650 sebagai yuran percubaan dan ia perlu dibayar untuk tiga bulan berturut-turut. Mangsa yang terdesak dan memerlukan duit memasukkan wang itu dan dalam tempoh sebulan, tanpa disedari dia membuat pelbagai bayaran berjumlah RM10,000, sama seperti jumlah dipohon” katanya kepada Harian Metro.

Syed Azri berkata, surat berkenaan juga menyatakan kadar faedah sebanyak enam peratus setahun dan segala terma adalah tertakluk dengan peraturan sedia ada oleh Bank Negara.

Menurutnya, siasatan awal pihaknya mendapati, syarikat terbabit bukanlah pemberi pinjam wang berlesen dan individu terbabit mengaut untung mudah hasil yuran dibayar oleh mangsa.

“Setakat ini kerugian keseluruhan bagi 10 kes direkodkan adalah sebanyak RM100,000 dan mungkin lebih ramai lagi di luar sana menjadi mangsa kerana tawaran ini diiklankan di FB.

“Justeru saya nasihatkan, bagi mereka yang ingin meminjam, pastikan status syarikat terlebih dulu dan semakan boleh dibuat dengan Bank Negara atau Unit Pemberi Pinjam Wang Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi mengelakkan ditipu,” katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2019 @ 6:56pm
d