utama

Kembara kasih Nursulhi kepada Aidil

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

PENGEMBARAAN dua beranak ini menuju Benua Eropah bukan sekadar mahu mendalami budaya luar semata-mata sebaliknya manifestasi kasih sayang antara bapa dan anak.

Nursulhi Rahim, 42, yang berasal dari Pulau Sebang, Melaka sudah lebih sebulan mengembara bersama anak sulungnya Muhammad Aidil, 14, menuju ke Eropah sejak 1 November lalu.

Menurutnya, idea asal untuk mengembara tercetus disebabkan dia mahu mengambil peluang untuk bersama anak lelakinya itu memandangkan sebelum ini kekangan masa kerana sibuk bekerja demi meneruskan kelangsungan hidup.

“Saya mengambil keputusan mengembara bersama Muhammad Aidil kerana merasakan ini adalah masa yang sesuai untuk kami meluangkan masa bersama sambil menerokai budaya negara luar.

“Sebelum ini, saya melakukan pelbagai kerja antaranya kontraktor, pemandu Grab dan membuka bengkel pengubahsuaian vespa untuk menampung hidup menyebabkan masa bersama anak terhad,” katanya yang kini berada di Bayramic, di Turki, ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, kini mereka sudah merentasi 13,720 kilometer (km) bermula dari Pulau Sebang sehingga ke Bayramic menaiki Perodua Kelisa yang berusia lebih 12 tahun tanpa sebarang masalah.

Katanya, Muhammad Aidil mengalami masalah pembelajaran dan kurang fokus menyebabkan dia tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran.

“Saya lihat sepanjang pengembaraan, Muhammad Aidil semakin ceria dan mampu untuk berdikari dengan baik berbanding sebelum ini selain menunjukkan minat mendalami budaya luar.

“Ini adalah satu perubahan positif dalam dirinya dan saya berharap dia akan pulih sepenuhnya selepas pengembaraan ini selesai tidak lama lagi,” katanya.

Nursulhi berkata, sepanjang pengembaraan juga, dia yang juga duta Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) turut membawa mesej keamanan Misi Bantuan Musim Sejuk Syria.

Katanya, promosi yang dilakukan menerusi Facebook (FB) berjaya mengumpul dana untuk MAPIM memberikan bantuan kepada rakyat Syria yang terjejas ekoran cuaca sejuk.

“Pengalaman sepanjang pengembaraan ini sebenarnya membuka mata agar kita bersyukur dengan keamanan yang dinikmati rakyat Malaysia kerana masih ramai yang memerlukan ihsan untuk meneruskan kehidupan.

“Rakyat Malaysia yang berkesempatan sewajarnya pergi mengembara kerana kita bukan saja mampu mengenali diri sendiri tetapi lebih penting menghargai kesenangan yang dikecapi,” katanya yang akan meneruskan perjalanan menuju ke Eropah beberapa hari lagi.

Disiarkan pada: December 19, 2019 @ 8:30pm
d