utama

Jauhnya seludup anak singa!

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

BAGAIMANA empat anak singa dan seekor anak harimau bintang dari benua Afrika boleh diseludup ke Kepulauan Riau, Indonesia melalui Malaysia?

Perkara itu menjadi tanda tanya berikutan habitat asal haiwan liar itu terletak lebih 7,000 kilometer sekali gus memungkinkan haiwan itu melalui perjalanan jauh untuk sampai ke negara ini yang dijadikan transit awal.

Difahamkan hidupan liar diseludup dari Malaysia itu dirampas polis Daerah Riau susulan kejayaan mereka menghidu aktiviti sindiket pemerdagangan haiwan antarabangsa.

Turut dirampas dalam operasi malam Sabtu lalu adalah 58 kura-kura Indiana Star yang dianggarkan bernilai puluhan ribu ringgit.

Jurucakap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia berkata, semua haiwan liar itu diselamatkan susulan penahanan seorang lelaki yang dipercayai ahli sindiket terbabit.

Menurutnya, haiwan liar itu diseludup menggunakan bot yang mendarat di pesisir ‘pelabuhan tikus’ berhampiran Dumai, Riau.

“Siasatan mendapati, empat anak singa dan seekor harimau bintang berusia kurang setahun itu dipindahkan ke Pekanbaru, Indonesia, dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV).

“Suspek bagaimanapun ditahan anggota Balai Besar Konservasi Sumber Daya Alam (BBKSDA) Riau yang turut menyelamatkan tiga Orang Utan.

“Turut ditemui botol susu dan serbuk susu bayi yang dipercayai digunakan sindiket untuk memberi minuman kepada anak singa dan harimau itu,” katanya.

Sementara itu Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim yang dihubungi berkata, pihaknya meneliti kes berkenaan melalui bekerjasama dengan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan pihak berkuasa di negara jiran.

Menurutnya, sindiket dipercayai menjadikan Malaysia sebagai transit awal sebelum memindahkan haiwan itu ke Indonesia.

“Kami mengumpul maklumat berhubung kes ini. Ada kemungkinan ia membabitkan rangkaian sindiket besar,” katanya.

Disiarkan pada: December 20, 2019 @ 8:00am
d