utama

Bom pun kau nak simpan

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

KAKITANGAN Majlis Perbandaran Taiping (MPT) terkejut apabila menemui sebutir bom mortar lama ketika melakukan kerja pembersihan di sebuah rumah di Taman Tupai Mas, di Taiping, kelmarin.

Difahamkan, kerja pembersihan dijalankan di rumah itu selepas pihak MPT menerima aduan mengenai longgokan sampah dan barangan lama di parkir rumah berkenaan sehingga menyebabkan berlakunya serangan kutu babi.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan bom itu jam 10.45 pagi daripada kakitangan MPT yang melakukan kerja pembersihan di rumah berkenaan.

“Sebaik kerja-kerja pembersihan hampir selesai, kakitangan MPT terjumpa bom lama jenis Mortar 80 dengan ukur lilit 25 sentimeter (cm) dan panjang 36 cm di kawasan parkir rumah itu.

“Bimbang kejadian tidak diingini, kakitangan itu menghubungi polis memaklumkannya dan siasatan kemudiannya mendapati bom berkenaan sudah lama disimpan penghuni rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Osman berkata, pihaknya kemudian meminta bantuan Unit Tentera Mekanikal Rifle Persenjataan (AMRA), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping untuk bantuan seterusnya.

Katanya, bom berkenaan kemudiannya berjaya diletupkan jam 1.20 tengah hari di sebuah kawasan tanah perkuburan cina di sini.

Disiarkan pada: December 20, 2019 @ 3:12pm
d