utama

Ada RM13 sahaja!

Oleh Zuliaty Zulkiffli

“DALAM akaun bank saya cuma ada RM13 sahaja.

“Tak cukup untuk berulang-alik ke hospital kerana saya terpaksa bergilir-gilir menjaga suami dan anak yang menghidap penyakit kronik.

“Berat dugaan saya apabila suami disahkan menghidap kanser usus tahap tiga dan anak lelaki pula buah pinggang bocor (Nephrotic syndrome),” kata Azlina Kasim, 48.

Azlina berkata, dia hilang mata pencarian apabila suaminya, Hamzah Ahmad, 64, disahkan turut menghidap kanser paru-paru tahap tiga sejak empat bulan lalu.

Katanya, anak mereka, Muhammad Hakimi Hamzah, 12, disahkan menghidap buah pinggang bocor sejak 2016 dan kerap berulang-alik ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar dan Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Saya menghabiskan masa menjaga anak kerana dia perlu diberi tumpuan termasuk memeriksa tahap air kencingnya setiap hari selain mengawal pemakanannya bagi mengelak keadaan menjadi lebih teruk.

“Disebabkan kerap berulang-alik ke hospital, saya kehabisan wang hingga terpaksa meminjam rakan,” katanya di rumahnya di Kampung Paya Saga, Air Puteh.

Keadaannya jadi lebih parah apabila suaminya dimasukkan ke Hospital Alor Setar (HAS) untuk menjalani rawatan dan kemoterapi kerana kanser merebak ke otak.

Disebabkan itu, anak tirinya, Norain Muni Hamzah, 27, yang sebelum ini bekerja di Singapura terpaksa berhenti kerja untuk menjaga bapanya di HAS.

“Doktor maklumkan keadaan suami teruk dan perlu menjalani rawatan radioterapi di Hospital Pantai Pulau Pinang, tetapi kami tak mampu.

“Namun disebabkan kami tiada sumber kewangan, saya tidak dapat membawa suami walaupun usaha itu antara kaedah yang dapat menyelamatkan nyawanya tetapi saya buntu,” katanya.

Azlina berkata, anaknya juga perlu menjalani rawatan susulan di HPP namun adakala dia tidak dapat membawanya kerana masalah kewangan.

Katanya, dia hanya mempunyai sebuah kereta lama yang kerap rosak untuk membawa anaknya ke hospital.

“Walaupun tahu risiko dihadapi anak, saya tak tahu nak buat apa sebab tiada wang, malah anak lelaki saya, Norazrai Norazmi, 25, hasil perkahwinan dengan suami pertama terbabit kemalangan dan patah kaki.

“Saya hanya mampu membeli telur yang dimakan bersama kicap dan nasi kerana nak jimat duit untuk membawa anak dan suami ke hospital,” katanya.

Azlina berkata, dia terpaksa membeli alat pemeriksaan air kencing dengan harga RM28 untuk 50 strip dan perlu dibeli selalu untuk memantau kandungan air kencing anaknya.

Katanya, Muhammad Hakimi juga mempunyai selain penyakit darah tinggi selain air kencingnya juga berbuih dan melebihi paras normal.

“Setakat ini saya tidak mendapat bantuan bulanan kerana tiada langsung sumber pendapatan,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Media Prima-NSTP Humanitarian Fund (Metro Prihatin) di Maybank 514271655386 atau Affin Islamic Bank 105280004378.

Disiarkan pada: December 21, 2019 @ 6:00am
d