utama

Pindah-randah takut polis

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SUAMI isteri yang sedang diburu kerana melakukan penipuan meraih sumbangan orang ramai secara dalam talian di media sosial dipercayai berpindah-randah bagi mengelak dikesan pihak polis.

Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, usaha mengesan pasangan terbabit sedang giat dijalankan.

“Kami ada menerima beberapa maklumat berhubung pasangan itu daripada orang awam. Namun, mereka masih belum dapat ditahan.

“Berdasarkan maklumat diperolehi, pasangan itu dipercayai berpindah-randah bagi mengelak mereka dikesan pihak polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Saiful Azly berkata, reman terhadap seorang lelaki berusia 24 tahun yang juga rakan kepada pasangan suami isteri terbabit disambung selama dua hari.

“Sebelum ini, reman terhadap lelaki itu dibenarkan selama dua hari hingga hari ini dan disambung semula dua hari lagi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan suami isteri berkenaan memperdayakan orang ramai dengan mengeksploitasi gambar bayi dan kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik di media sosial untuk meminta sumbangan.

Polis turut meminta orang ramai mengesan dua individu berkenaan bagi membantu siasatan berhubung kegiatan mereka meminta derma melalui media sosial.

Individu sedang dikesan itu adalah Muhammad Amirul Iskandar Azhar Affandy, 22, yang beralamat terakhir di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin, Jalan Miri Off, Kuala Lumpur dan Maizatul Farahanis Mior Mohd Patah, 20, yang beralamat terakhir di PPR Pekan Batu, Batu 5 Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suami isteri berkenaan diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Syarifah Asiah Syed Husin di talian 013 9063634 atau Inspektor Razmil Razak di talian 012 7150785 untuk tindakan lanjut.

Berita berkaitan

'Bapa kepada' ditahan

Buat apa saja untuk memperdaya

Kan dah kena cari...

Disiarkan pada: December 21, 2019 @ 3:48pm
d