utama

'Sentiasa senyum masuk pejabat'

Oleh Aizat Sharif

PERLIS, dengan populasi sekitar 254,000 bukan saja negeri terkecil di Malaysia malah turut berdepan masalah jenayah curi motosikal, penyeludupan ketum serta penyalahgunaan dadah.

Apabila pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi kepercayaan kepada anak jati Perlis, Datuk Surina Saad, 56, menerajui negeri kelahirannya, ia umpama memberi dimensi baru dalam soal keselamatan dan hal ehwal ketenteraman awam di negeri itu.

Surina yang dilahirkan di Seriab, Kangar menjadi wanita pertama dilantik menjawat Ketua Polis Perlis pada 3 September lalu menggantikan Datuk Noor Mushar Mohamad yang bersara.

Bagi merungkai sejauh mana bekas Ketua Penolong Pengarah Cawangan Khas (E5) Bukit Aman ini melihat cabaran mengekalkan keamanan dan ketenteraman awam di Perlis, wartawan Aizat Sharif dan juruvideo, Amran Hamid mewawancara beliau di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.

Perasaan Datuk selaku anak jati Perlis yang akhirnya dapat berkhidmat di negeri kelahiran?

Sangat bangga. Ini antara anugerah terbesar kerana akhirnya saya dapat memenuhi harapan ayah dan arwah ibu yang berharap saya dapat berkhidmat di negeri kelahiran serta rakyat Perlis amnya.

Saya tidak pernah terfikir untuk menjawat jawatan ini dan berterima kasih kepada pucuk pimpinan PDRM yang memberi kepercayaan ini.

Selain itu, kebanggaan ini wajar dikongsi bersama semua kerana saya menjadi wanita pertama dilantik sebagai Ketua Polis Perlis dan satu-satunya ketua polis negeri buat masa ini selepas Datuk Robiah Abd Ghani dilantik menjadi Ketua Polis Pahang pada 2008.

Apa pembaharuan yang Datuk mahu bawa di IPK Perlis?

Disebabkan saya adalah ketua polis negeri dalam kalangan wanita, saya lebih suka jika setiap pegawai, anggota dan kakitangan berasa selesa dengan pekerjaan mereka.

Ia bagi memastikan mereka dapat bertugas dengan baik.

Selain itu, saya akan terapkan kepada kakitangan di IPK Perlis supaya sentiasa melontarkan senyuman apabila masuk ke pejabat kerana setiap senyuman ada aura positif yang mampu dibawa sepanjang hari bekerja.

Malah, saya sendiri mempraktikkannya di pejabat. Jika kita masuk ke pejabat dalam keadaan marah atau tertekan, ia secara tidak langsung memberikan aura negatif.

Ia seterusnya memberi kesan buruk kepada mutu kerja termasuk gagal memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Disebabkan itu, setiap kali berucap dalam perhimpunan bulanan di IPK, saya tekankan kepada kakitangan supaya sentiasa menzahirkan kesyukuran setiap kali bangun tidur kerana kita masih boleh bernafas serta menjalankan tugas dengan baik.

Paling penting, kita perlu berterima kasih kepada ibu bapa yang selama ini banyak berjasa kepada kita semua.

Ada yang hairan dan bertanya bagaimana seseorang seperti saya yang pernah bertugas di Cawangan Khas, mampu melemparkan senyuman dan sentiasa nampak gembira dalam tugasan.

Sebenarnya tiada apa yang menghairankan kerana melontar senyuman dan segala perlakuan positif ini sudah pun saya praktikkan ketika bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah.

Pendapat Datuk berkaitan jenayah yang menjadi musuh utama polis di Perlis?

Berdasarkan pemerhatian, jenayah komersial dan seksual antara yang tertinggi direkodkan di negeri ini.

Namun begitu, Perlis menjadi negeri kedua tertinggi yang berjaya melaksanakan penyelesaian kes jenayah komersial terutama membabitkan penipuan oleh sindiket ‘Macau Scam’ dan sebagainya.

Selain itu, berdasarkan rekod, ada peningkatan 38 peratus membabitkan jenayah seksual di Perlis berbanding 2018.

Kesnya pula membabitkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak. Namun begitu, secara positifnya, masyarakat di negeri ini sudah sedar dengan bahaya jenayah seksual terhadap kanak-kanak, lebih-lebih lagi membabitkan pesalah pedofilia.

Untuk rekod, Mei lalu, mahkamah negeri ini menjatuhi hukuman penjara 133 tahun dan 42 sebatan terhadap seorang warden asrama selepas didapati bersalah meliwat lima pelajar sebuah pusat tahfiz.

Pesalah pedofilia ini juga didapati menyimpan lebih 400 video lucah dalam telefon bimbitnya.

Jenayah lain yang banyak berlaku di Perlis turut membabitkan antaranya kecurian, pecah rumah, penyeludupan ketum selain jenayah indeks lain seperti bunuh, rogol dan samun berkawan dengan senjata api.

Berdasarkan perbandingan jenayah indeks bagi tempoh hingga Disember tahun lalu dan tahun ini, kita dapati, pada 2018, terdapat 117 kes jenayah.

Tahun ini pula, jenayah indeks yang direkodkan berkurang enam kes kepada 111 kes.

Namun begitu, dari segi penyelesaian kes, ada menunjukkan peningkatan yang mana pada 2018, kita merekodkan 86.32 peratus penyelesaian kes dan ia meningkat kepada 99.99 kes bagi tempoh sama tahun ini.

Bagi jenayah harta benda, kita lihat jenayah curi dan curi motosikal antara yang tertinggi direkodkan di Perlis.

Bagi kes curi, berlaku peningkatan 11 kes manakala bagi curi motosikal, ada penurunan 83 kes yang mana pada 2018, kita merekodkan 164 kes dan ia menurun bagi tempoh sama tahun ini kepada 81 kes.

Bagi mencegah penyeludupan ketum, saya sudah mengarahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) supaya sentiasa melaksanakan pemantauan, rondaan termasuk tangkapan dan rampasan.

Berdasarkan data diberikan AKSEM, berlaku peningkatan daripada segi rampasan dan nilai rampasan membabitkan daun ketum di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Pada Ogos lalu saja, ada 41 kes rampasan membabitkan kerugian RM284,200 dan ia berkurangan kepada 28 kes pada September walaupun nilai rampasannya meningkat kepada RM464,350.

Bagi Oktober lalu, rampasan daun ketum sekali lagi meningkat sebanyak 49 kes dengan nilainya bertambah kepada RM839,297 dan pada November, jumlah rampasan berkurangan kepada 33 kes dengan nilai rampasan meningkat RM857,670.

Bagaimana Datuk melihat hubungan polis dengan masyarakat yang dilihat agak ‘kurang mesra’ akhir-akhir ini terutama di Perlis?

Sebenarnya ada, malah apabila saya memegang jawatan sebagai Ketua Polis Perlis, saya meneruskan legasi terdahulu dengan melakukan pertemuan dengan masyarakat di sekitar negeri ini.

Perjumpaan juga dilakukan secara santai. Saya sudah ke banyak lokasi seperti Kuala Perlis, Kaki Bukit dan Kangar.

Saya bertemu dengan anggota masyarakat selain Kawasan Rukun Tetangga (KRT). Pegawai saya pula merekodkan permasalahan di kawasan mereka untuk diambil tindakan.

Banyak isu dapat dikupas melalui pertemuan ini seperti di Kuala Perlis yang kita tahu wujud pelbagai masalah sosial dan jenayah seperti penyalahgunaan dadah.

Saya yakin perjumpaan secara santai sebegini mampu mendekatkan polis dengan masyarakat.

Di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), diwujudkan Skuad Aman Wanita (AMANITA) atau ‘Peace Lady’ yang berperanan mengajar dan memupuk kesedaran orang ramai khususnya wanita, mengenai keselamatan diri serta cara melindungi kawasan kejiranan masing-masing.

Disiarkan pada: December 22, 2019 @ 7:00am
d