utama

Allah 'bayar cash'... [METROTV]

Oleh Hamzah Osman

LELAKI ditahan polis selepas 17 jam mencuri duit jemaah wanita ketika Solat Maghrib di Masjid AL- Qadim, Kampung Kuah, di Langkawi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek berusia 20 tahun itu berjaya ditahan 12 tengah hari kelmarin iaitu selepas kira-kira 17 jam pihaknya menerima laporan berhubung kes berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita mengatakan wang yang diletakkan di dalam beg tangannya disedari hilang pada 7.20 malam kelmarin.

“Suspek pada mulanya ditahan Polis Bantuan Lembaga Pembangunan Langkawi selepas mendapati pemuda terbabit berada dalam keadaan mencurigakan sebelum menyerahkannya ke Balai Polis Kuah untuk tindakan lanjut.

“Polis kemudian melakukan tangkapan semula ke atas suspek untuk siasatan lanjut susulan laporan polis dibuat pengadu,” katanya ketika dihubungi di Langkawi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku terbabit melakukan jenayah curi terbabit.

“Polis turut merampas sebuah beg tangan yang ada kaitan dengan kes dan suspek direman selama tiga hari berakhir esok.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Terdahulu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 1 minit 40 saat berkaitan kejadian curi itu turut tular dalam WhatsApp.

Disiarkan pada: December 22, 2019 @ 10:33am
d