utama

'Saya terharu dengan kejujuran awak' [METROTV]

Oleh Alias Abd Rani

“BILA saya buka dompet, saya tengok ada satu dokumen, hati saya mula membayangkan pemilik dompet mesti orang susah.

“Saya pun orang susah dan atas sebab itulah saya berusaha mencari bagi memulangkan dompet pada pemiliknya,” kata Syahmi Abd Rahman, 22.

Itulah kejujuran penuntut Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Masjid Tanah, Melaka, itu yang nekad mencari pemilik dompet seorang wanita yang tercicir berdekatan sebuah klinik di Melaka Tengah, semalam.

Penuntut sedang menjalani praktikal itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Merlimau sebelum ternampak dompet Ameylia Nabila Azman, 24, di tepi jalan lalu mengambilnya.

Menceritakan lebih lanjut, Syahmi berkata, pada mulanya dia tidak berani membuka dompet berkenaan kerana bimbang orang lain menganggap dia peragut atau sebagainya.

“Jadi, saya mengambil keputusan untuk tunggu di lokasi itu, mana tahu pemiliknya berpatah balik. Selepas kira-kira 10 hingga 15 minit, tiada kelibat sesiapa datang lalu saya membawa pulang ke rumah.

“Saya membuka dompet itu kerana mungkin ada nombor telefon. Saya terjumpa pen drive (pemacu pena) lalu saya buka dan akhirnya terjumpa nombor telefon tertera pada resume wanita itu.

“Saya segera hubungi dan memaklumkan padanya dompet ada pada saya. Saya minta maaf kerana membuka dompetnya, saya berbuat demikian kerana mahu mencari pemiliknya,” katanya.

Kisah kejujuran Syahmi mula menjadi tumpuan apabila Ameylia Nabila memuat naik dalam Facebook hingga mendapat pujian warganet.

Menerusi hantaran itu, Ameylia Nabila menulis: “Alhamdulillah dan terima kasih kepada hamba Allah yang tidak dikenali kerana jujur memulangkan dompet saya yang tercicir. Aku letak atas bumbung kereta, lepas itu jalan.

“Walaupun tak ada contact number (nombor untuk dihubungi), tapi dia cari sampai dapat pakai pen drive yang ada dalam dompet saya. Semoga Allah SWT membalas segala kebaikan awak.”

Sementara itu, Ameylia Nabila sebaik menemui penuntut itu di rumahnya, air matanya menitis kerana kejujuran lelaki itu.

“Dompet saya jatuh ketika mahu berniaga di UTC Melaka, ketika itu, saya memasukkan barang niaga manakala dompet letak atas kereta dan terjatuh ketika kenderaan bergerak.

“Kejadian berlaku pada jam 7 petang dan sejam setengah kemudian, ada seorang lelaki menghubungi saya memaklumkan dompet itu ada padanya.

“Dia (Syahmi) nak (hendak) hantar pada saya, tapi kami (termasuk ibu dan ayah) cakap tak payah sebab mahu kami ke rumahnya,” katanya.

Katanya, dia bersama keluarga sanggup ke sana kerana tidak mahu menyusahkan Syahmi yang baik hati.

“Satu sen pun duit tak terusik, macam mana saya tidak terharu dengan kejujuran ini. Saya ada beri sumbangan sebagai tanda penghargaan, namun pada mulanya dia menolak.

“Kami paksa dia ambil dan akhirnya dia akur. Alhamdulillah masih ada lagi orang jujur seperti Syahmi.” katanya.

Disiarkan pada: December 22, 2019 @ 8:59pm
d