utama

Detik bahagia tiba jua

Oleh Najiy Jefri

HAMPIR tujuh tahun menantikan detik bahagia ini, pelakon Farah Nabilah akhirnya sah bergelar isteri kepada jejaka pilihan hatinya yang juga juruterbang, Mohammed Amirul Yunus di Hotel Royale Chulan, Damansara, Kuala Lumpur jam 9.04 malam, Jumaat lalu.

Hanya dengan sekali lafaz, Farah atau nama sebenarnya Farah Nabilah Saipuddin, 27, dan Mohammed Amirul dinikahkan Penolong Pendaftar Perkahwinan Daerah Petaling, Mastori Marsidi dengan berwalikan bapanya, Datuk Saipuddin Ahmad.

Pada acara akad nikah itu, pengantin perempuan menerima RM1,000 sebagai mas kahwin, manakala RM77,777.77 sebagai wang hantaran berserta tujuh berbalas tujuh dulang.

Majlis pernikahan itu dihadiri 300 jemputan yang terdiri daripada keluarga, rakan terdekat, rakan selebriti dan media.

Pada majlis yang bertemakan Melayu Klasik, pasangan pengantin memakai busana putih rekaan pereka fesyen terkenal, Rizalman dan solekan oleh Khir Khalid.

Bertemu Farah dan Amirul usai majlis akad nikah, masing-masing seakan hilang kata-kata apabila mereka akhirnya sah bergelar suami isteri.

“Alhamdulillah, majlis dirancang berjalan lancar dengan keberkatan hari Jumaat. Saya kini sah bergelar isteri kepada Amirul.

“Doakan semoga ikatan perkahwinan ini kekal hingga jannah. Saya akui tanggungjawab yang digalas kini semakin berat, namun insya-Allah semuanya akan dipermudahkan.

“Jujur seminggu sebelum majlis akad nikah berlangsung saya dan Amirul sangat gementar kerana bimbang apa yang dirancang tidak menjadi kenyataan, namun tak sangka semuanya dipermudahkan,” katanya.

Siapa sangka, sepanjang tujuh tahun perkenalan, Farah dan Amirul dilihat pandai menyimpan perhubungan mereka sehingga ada satu pengumuman mengenai perkahwinan mereka Oktober lalu.

Farah berkata, dia dan Amirul tidak gemar berkongsi hal peribadi kepada umum kerana perkahwinan bukan satu perkara yang boleh dibuat main-main.

“Itulah kami pun tak sangka hampir tujuh tahun kami menyimpan rahsia ini. Kami berkahwin selepas tujuh tahun bercinta pun sebab nak pastikan kami betul-betul serasi dan saling melengkapi.

“Saya memang daripada dulu tak suka kongsi perihal perhubungan kepada khalayak. Bila dah ada tarikh rasmi baru saya berani dedahkan,” katanya.

Ditanya mengenai lokasi berbulan madu, Amirul berkata, mereka belum menetap sebarang destinasi.

“Perancangan bulan madu belum ada apa-apa lagi. Saya pun bekerja dan begitu juga dengan Farah yang bakal memulakan penggambaran.

“Apa yang pasti sebelum berbulan-bulan diet, saya nak bawa Farah ke Pulau Pinang dulu untuk mencari makanan yang menarik di sana,” katanya.

Sudah memiliki rumah untuk mereka berdua hidup bersama, Amirul berkata, buat masa ini mereka bakal tinggal di rumah keluarga terlebih dahulu.

“Sebenarnya rumah kami dalam pengubahsuaian dan bakal berpindah lagi tiga bulan.

“Lagipun keluarga macam belum bersedia nak melepaskan kami. Saya anak yang rapat dengan mak dan keluarga. Begitu juga dengan Farah yang tidak pernah tinggal berjauhan dengan keluarga.

“Jadi saya mencari rumah yang dekat dengan keluarga supaya senang untuk melawat dan meluangkan waktu bersama,” katanya.

Beralih mengenai perancangan selepas ini, Farah berkata, dia akan terus terbabit dengan dunia lakonan, namun perlu meminta izin suami dahulu.

“Suami tak pernah melarang apa saya nak buat. Insya-Allah saya akan aktif berlakon cuma teringin nak cuba sesuatu yang baru seperti kerjaya pengacaraan,” katanya.

Terdahulu, pada majlis pernikahan mereka turut berlangsung majlis pertunangan yang menyaksikan ibu Amirul menyarungkan cincin kepada Farah.

Sementara itu, majlis khatam al-Quran dan resepsi diadakan di Neo Event Hall, Damansara Perdana pada Sabtu lalu, manakala majlis di sebelah lelaki pula akan berlangsung di Hotel Grand Dorsett, Subang pada 28 Disember ini.

Selepas itu, majlis resepsi sebelah perempuan akan diadakan di Hotel Four Seasons, Kuala Lumpur pada 5 Januari depan.

Mengimbas kembali detik perkenalan, menerusi laporan Harian Metro pada 23 Oktober lalu, Farah memberitahu mereka diperkenalkan rakan baiknya iaitu pelakon Izara Aishah sejak tujuh tahun lalu.

Farah berkata, sikap penyabar dan pandai mengambil hati keluarga membuatkan dia menerima kehadiran lelaki berkenaan sebagai pasangan hidup.

Disiarkan pada: December 23, 2019 @ 5:20am
d