utama

Alamak air terputus lagi!

Oleh Nur Lela Zulkipli

LIMPAHAN minyak kehitaman dikesan pada satu daripada pembetung dalam jaringan sistem pembetungan di Bandar Bukit Mahkota.

Ia susulan siasatan yang dijalankan terhadap sistem berkenaan ekoran pencemaran air Sungai Semenyih yang menyebabkan dua Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas.

Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dalam satu kenyataan berkata, selepas mengesan pencemaran berpunca daripada loji rawatan kumbahan (LRK) Indah Water Konsortium (IWK) Bukit Mahkota, pihak berkenaan menghentikan pelepasan air serta melaksanakan rawatan menggunakan hidrogen peroksida kristal (CHP) pada jam 1 tengah hari kelmarin.

Katanya, selepas mengesan pencemaran di satu pembetung di Bandar Bukit Mahkota pula, kerja pembersihan dijalankan.

“Kerja pembersihan dan penyedutan bahan yang disyaki sisa bahan terjadual itu mula dilakukan pada jam 4 petang oleh pihak IWK, menggunakan dua lori tangki berkapasiti lima meter padu.

“Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) juga mengarahkan intervensi segera pihak IWK untuk meneruskan kerja pembersihan dan penyedutan sisa itu supaya implikasi pencemaran dikurangkan dan bekalan air terawat disalurkan semula dengan kadar segera.

Activated carbon juga disediakan oleh Luas dalam keadaan siap siaga sekiranya diperlukan di takat pelepasan akhir LRK ke sungai,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kenyataan sama berkata, pemantauan dan pensampelan dijalankan di Sungai Beranang dan sekitar Persiaran Mahkota 2 dan sehingga jam 12.30 tengah malam tadi, bau sebanyak 3 ton masih dikesan di Sungai Beranang, selepas LRK terbabit manakala bau sebanyak 2 ton masih dikesan di muka sauk loji di Jenderam Hilir.

Katanya, Luas dan semua pihak terbabit berusaha menangani insiden berkenaan dengan segera serta mengenal pasti dalang kejadian itu.

Bergilir dengan anak tadah bekalan air

Penduduk kesal ada pihak mengambil jalan mudah membuang sisa kimia sehingga menyebabkan pencemaran air kembali berulang.

Mohd Fadzil Muskam, 46, berkata, tindakan sedemikian menyebabkan masalah kepada banyak pihak khususnya mereka yang berkeluarga kerana terpaksa menunggu lori tangki untuk mendapatkan bekalan air.

Beliau yang menetap di Kampung Rinching Hilir berkata, bekalan air yang dibawa lori sejak pagi tidak mencukupi kerana penduduk kampung berpusu-pusu mendapatkan bekalan.

“Saya sudah tunggu lori air sejak jam 11 pagi dan terpaksa bergilir dengan anak untuk memastikan kami tidak terlepas jika bantuan air tiba.

“Rumah yang jauh dari jalan utama menyebabkan kami perlu berulang-alik mendapatkan bekalan sejak air terputus semalam (kelmarin),” katanya.

Pesara, Johari Yusoff, 56, sudah tiba masanya pasukan penguatkuasaan menggiatkan operasi untuk memastikan tiada pihak sewenang-wenangnya membuang sisa kimia.

Katanya, jika masalah ini berlarutan, ia sudah pasti membantutkan aktiviti seharian masyarakat setempat.

“Masalah sama udah berulang kali berlaku dan seakan-akan tiada penyelesaian jangka panjang. Penduduk harap tiada lagi masalah ini pada masa akan datang.

“Pihak industri juga perlu lebih bertanggungjawab untuk pastikan kontraktor yang dipilih melupuskan sisa kimia mengikut prosedur pelupusan ditetapkan kerajaan,” katanya. - Ekhwan Haque Fazlul Haque

Disiarkan pada: December 23, 2019 @ 6:45am
d