utama

'Kami sedia maafkan mereka'

Oleh Mary Victoria Dass

“KAMI sedia maafkan mereka,” kata adik perempuan pesakit kanser tahap empat, Nur Sheila Abdullah, susulan perkembangan terkini mengenai pengalaman dilalui ketika menguruskan kakaknya di pejabat Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) Johor Bahru.

Katanya, susulan perkongsian pengalaman di media sosial hingga mendapat pelbagai rekasi warganet, wakil KWSP sudah bertemu dengan kakaknya semalam.

“Ya, benar wakil mereka (KWSP) ada melawat kakak saya pagi semalam, namun ketika itu saya tidak berkesempatan bertemu kerana berada di luar rumah.

Menurutnya, dia menemani ibunya ke klinik kesihatan bagi pemeriksaan Kesihatan, sebulan sekali.

“Apa yang saya dimaklumkan pihak mereka ingin berjumpa dan bersemuka dengan saya. Mereka mungkin ingin membuat perbincangan selanjutnya,” katanya.

Nur Sheila berkata, harapannya seperti dalam perkongsian yang dimuat naik semalam.

“Saya harap supaya perkara sama tidak berulang dan tidak menimpa mereka di luar sana.

“KWSP harus melakukan sesuatu berkaitan isu ini dan mendidik kakitangan mereka supaya lebih berperikemanusiaan,” katanya.

Semalam, kisah wanita terlantar berusia 56 tahun menderita kanser tahap empat berdepan pengalaman luar biasa apabila terpaksa diusung ke pejabat KWSP bagi tujuan proses pengeluaran caruman miliknya tular di media sosial.

Kejadian menimpa wanita itu menarik perhatian netizen apabila isu berkenaan dikongsi oleh adik perempuan pesakit berkenaan iaitu Nur Sheila.

Menerusi perkongsian itu, Nur Sheila berkata, keluarganya terpaksa mengusung kakaknya yang terlantar sejak sembilan bulan lalu demi membuat urusan pengeluaran wang caruman.

Katanya, dalam kejadian itu, keluarganya terpaksa membawa kakaknya menggunakan perkhidmatan ambulans ke pejabat KWSP Johor Bharu bagi membuat pengeluaran untuk tujuan rawatan serta perubatan.

Berikutan itu, KWSP memohon maaf dan kesal terhadap kejadian berkenaan.

KWSP dalam kenyataannya berkata, pihaknya sudah menghubungi dan berjumpa ahli keluarga wanita itu untuk mendapat maklumat lanjut.

Berita berkaitan

KWSP mohon maaf

Disiarkan pada: December 23, 2019 @ 3:24pm
d