utama

Doa Raja Permaisuri Agong buat nenek

Oleh Mohd Sabran Md Sani

“SAYA doakan dan kirim salam kat (kepada) mak,” titah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerusi Twitter miliknya.

Tunku Azizah menciap demikian sebagai membalas ciapan @Cikfatimah atau Siti Fatimah Zahra Abdul Hamid, 27, yang berkongsi misi ibunya, Partini Rosmanan, 70, untuk berlari 71 kilometer (km), tahun depan.

“Ampun Tuanku. Mak patik sampaikan salam buat tuanku. Mak patik mohon doakan semoga diberikan kesihatan yang baik.

“Insya Allah, (pada) 2020, mak patik dalam misi berlari 71km sempena usianya 71 tahun,” kongsi Siti Fatimah yang juga penyelidik di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) cawangan Pasir Gudang.

Siti Fatimah ketika dihubungi berkata, dia berkongsi hasrat ibunya semalam dan mereka mahu menyimpan kenangan indah bersama Raja Permaisuri.

“Saya mengikuti perkembangan Tunku Azizah sejak sekian lama, malah kami adik-beradik pernah mengikut program Kembara Mahkota Johor (KMJ) sejak 2004.

“Secara peribadi, saya sendiri pernah bertemu dengan Tunku Azizah, selain mengikuti perkembangan Keluarga Diraja Johor,” katanya.

Menurutnya, dia akan menemani ibunya menjayakan misi larian itu pada tarikh lahir ibunya, 1 Januari ini.

“Sasaran kami 71 km, namun ia dijangka mengambil masa beberapa hari dan dilaksanakan secara kumulatif di Kota Tinggi.

“Kami bercadang memulakannya di Bandar Penawar dan di kawasan kampung,” katanya yang tinggal di Felda Air Tawar 5, Kota Tinggi.

Meskipun sudah berusia, katanya, Partini yang mempunyai tujuh anak, 12 cucu dan tiga cicit, sangat aktif melakukan aktiviti kecergasan.

“Bahkan ketika usia ibu sekitar 50-an, dia sering mengikuti aktiviti larian bersama penduduk kampung dan rajin berkebun di sekeliling rumah.

“Dalam usianya, 70 tahun, dia masih aktif menyertai program larian dianjurkan di Johor Bahru dan sering menemani saya ke acara itu,” katanya yang memberitahu ibunya juga mengajar penduduk mengaji al-Quran.

Partini mengamalkan gaya hidup sihat termasuk mengambil madu setiap pagi, makan ulam-ulaman dan minum air.

Disiarkan pada: December 23, 2019 @ 5:51pm
d