utama

Bacaan masih kadar bahaya

Oleh Norzamira Che Noh dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

KERAJAAN negeri mengambil langkah segera bagi menyelesaikan isu pencemaran Sungai Semenyih berikutan kadar pencemaran masih berada pada kadar membahayakan.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dan mendengar taklimat dari Air Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dalam mesyuarat tergempar, pagi semalam.

“Berikutan kadar pencemaran yang masih belum mencecah sifar ton pagi ini (semalam), saya mengambil langkah segera untuk menyelesaikan isu ini.

“Antaranya Luas sudah mengambil langkah untuk mencairkan pencemaran dengan menyedut air dari Kolam Tasik Idaman menggunakan pam air.

“Selain itu, air dari Empangan Semenyih juga sudah dilepaskan ke Sungai Semenyih bertujuan untuk mencairkan pencemaran,” katanya menerusi kenyataan media, semalam.

Beliau berkata, Air Selangor juga menggerakkan 70 lori tangki air, 16 lori tangki jumbo, 31 tangki statik serta 10 pili air awam ke seluruh kawasan yang terjejas.

Katanya, keutamaan bekalan air adalah di hospital dan lori tangki jumbo turut digerakkan ke Hospital Kajang serta Hospital Serdang.

“Seterusnya kita akan menggunakan Kolam Terminal Bangi dari Loji Rawatan Air Langat 2. Bekalan air dari Langat 2 akan memenuhi Kolam Terminal ini untuk kegunaan pengguna terutama di kawasan Hulu Langat.

“Seramai 55,564 pengguna dari 104 kawasan akan menerima bekalan air dari skim ini,” katanya.

Disiarkan pada: December 24, 2019 @ 6:15am
d