utama

Balu anggota militan Daish sedia dihukum

Oleh Muhammad Saufi Hassan

“SAYA ingin pulang ke Malaysia...Keadaan di sini (Syria) tak (tidak) sesuai untuk membesarkan anak. Saya perlu pulang...”

Itu antara pengakuan salah seorang rakyat Malaysia yang mengikut suaminya menyertai kumpulan militan Daish menyatakan kesediaan untuk pulang dan bersedia menerima apa saja bentuk pemulihan atau hukuman mengikut lunas undang-undang negara.

Wanita terbabit menyatakan hasrat untuk pulang ketika menghubungi Panel Deradikalisasi, Dr Ahmad El Muhammady, baru-baru ini dan individu berkenaan antara puluhan rakyat tempatan yang masih tinggal di sekitar Syria atau Iraq.

Dr Ahmad berkata, kebanyakan rakyat negara yang menyatakan hasrat untuk pulang adalah golongan wanita yang kematian suami dan mengikut tradisi Daish, balu ini dikahwinkan dengan rakan kepada suaminya.

“Wanita ini turut menyatakan bahawa dia lebih rela mati di dalam penjara di negara sendiri berbanding mati di negara orang kerana sekurang-kurangnya, keluarga boleh menziarahi jenazahnya.

“Situasi sama turut berlaku terhadap balu kepada Allahyarham Wanndy (Muhammad Wanndy Mohd Jedi) iaitu Nor Mahmudah (Nor Mahmudah Ahmad, 31) yang turut bersedia untuk pulang.

“Saya difahamkan, ketiga-tiga anaknya sudah terkorban dan selepas itu dia berkahwin dengan rakan kepada arwah serta dikurniakan seorang anak,” katanya.

Menurutnya, Nor Mahmudah menyatakan hasrat perlu pulang ke Malaysia untuk menyelamatkan anaknya itu selepas dia kehilangan tiga anak lain ketika peperangan berlaku di Syria.

Katanya, rakyat Malaysia yang berada di negara bergolak itu hidup dalam ketidaktentuan selepas kejatuhan Daish akibat serangan daripada beberapa negara lain.

“Masyarakat kita jangan khuatir berhubung kepulangan rakyat tempatan yang menyokong kumpulan militan ini kerana saya yakin pihak berkuasa sudah mempunyai kaedah serta perancangan yang sangat rapi.

“Ia termasuk proses saringan serta pemulihan jika didapati seseorang individu itu terbabit secara aktif dalam gerakan militan berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: December 24, 2019 @ 7:00am
d