utama

Hanya pandai berjanji saja...

Oleh Syazwan Msar

SAINGAN Liga 2020 hanya berbaki dua bulan lagi namun difahamkan, sekurang-kurangnya lima pasukan masih lagi gagal menjelaskan bayaran tunggakan gaji sejak Oktober lalu dengan jumlah keseluruhan mencecah ratusan ribu ringgit.

Lebih memburukkan keadaan apabila ada antara lima pasukan terbabit ketika ini rancak membuat pembelian pemain untuk menghadapi saingan liga musim depan dan tindakan itu dilihat tidak wajar sama sekali.

Antara pasukan yang gagal menjelaskan tunggakan gaji adalah Pulau Pinang apabila 17 pemain yang dibuang pasukan terbabit sehingga kini belum menerima gaji Oktober dan November seperti yang dijanjikan pengurusan.

Bekas pemain pasukan terbabit, Mohd Rahizi Mohd Rasib berkata, pengurusan hanya pandai berjanji apabila pembayaran yang sepatutnya dijelaskan hujung bulan lalu sehingga kini masih lagi gagal dilunaskan.

Mohd Rahizi yang berasal dari Shah Alam berkata, lebih menyakitkan hati apabila melihat Pulau Pinang ghairah membuat pembelian pemain termasuk mengambil awang import bagi menguatkan pasukan untuk saingan liga musim depan.

“Ada antara kami terpaksa tunda perkahwinan berikutan tidak mendapat gaji malah sekarang ini pun perlu berjimat. Mereka janji nak bayar hujung November sebelum ditangguhkan kepada 18 Disember namun hingga kini mereka gagal berbuat demikian.

“Janganlah buat kami seperti ini. Seharusnya pasukan utamakan gaji kami sebelum berbelanja mendapatkan pemain baharu,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Nasib sama turut membelenggu pemain dan pengurusan Melaka apabila ada antara mereka tidak dibayar gaji untuk tempoh tiga bulan sejak September lalu.

Perkara terbabit disahkan barisan kejurulatihan pasukan terbabit yang dikenali sebagai Hisham apabila beliau enggan lagi mempercayai janji manis pengurusan untuk menjelaskan bayaran tunggakan gaji.

Hisham berkata, pemain dan barisan kejurulatihan sekarang ini hanya mengambil sikap berdiam diri kerana mahu menjaga ‘aib’ pasukan walaupun sudah beberapa kali janji ditipu.

“Ada antara pemain dan barisan kejurulatihan sudah beralih arah ke pasukan lain kerana tidak sanggup lagi menunggu bayaran tunggakan gaji. Sekarang ini, dengarnya pengurusan pasukan mahu pula mengutip derma daripada orang ramai untuk mengisi kantung persatuan yang sudah kering namun tidak tahu inisiatif terbabit bertujuan mahu membayar hutang atau sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, tiga pasukan lain yang mempunyai tunggakan gaji masing-masing berpangkalan di pantai timur dan satu lagi adalah skuad yang baharu saja dinaikkan pangkat ke Liga Super.

Disiarkan pada: December 25, 2019 @ 6:15am
d