utama

Tak adil untuk doktor baharu

Oleh Mohd Hilmie Hussin

KUALA LUMPUR: “Tidak adil bagi doktor baharu apabila gaji mereka dikurangkan sedangkan perlu bekerja untuk tempoh panjang, tetapi dibayar sedikit,” kata pengguna Twitter, Sasi K yang menyatakan alasan mengapa dia menandatangani petisyen membantah pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) yang dilancarkan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), di laman Twitter change.org.

Setakat jam 2 petang semalam, lebih 77,000 pemilik akaun Twitter sudah menandatangi petisyen terbabit.

Selain Sasi, Mohammad Danial Azmi Sukri turut menyatakan alasan peribadinya.

“Tidak adil kepada kami doktor baharu yang akan berkerja dalam tempoh waktu yang sama tetapi skim bayaran yang berbeza,” katanya.

Shahrul cx pula meninggalkan nota kriteria menerima elaun (BIPK) nombor empat adalah kerjaya yang mendedahkan calonnya kepada pelbagai bahaya dan risiko.

“Adakah ini bermakna doktor 2020 imun kepada penyakit berbahaya?” katanya.

Ken C pula memberitahu, doktor di Malaysia menerima bayaran rendah dan tidak sepadan jika dibandingkan dengan negara membangun lain.

Berdasarkan pekeliling dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), sebanyak 33 Skim Perkhidmatan Kritikal terlibat dengan pemansuhan elain BIPK kepada pejawat awam yang dilantik mulai 2020.

Menerusi keterangan pada petisyen itu, Timbalan Presiden MMA, Dr Vijay Ganasan berkata, bidang kedoktoran di negara hari ini sudah melalui fasa suram apabila berlaku penurunan sebanyak 15 peratus doktor graduan baharu.

Katanya, pemansuhan BIPK kepada kumpulan doktor junior akan menyebabkan sokongan moral mereka terganggu, terutamanya ketika berdepan dengan kesukaran untuk menjawat jawatan tetap.

“Adakah wang menjadi persoalannya di sini? Ia bukan membabitkan keuntungan semata-mata sebaliknya penghargaan terhadap perkhidmatan yang dilakukan kumpulan doktor ini.

“Kami sentiasa diberitahu bahawa orang awam perlu didahulukan dan perkhidmatan kami perlu diutamakan. Inilah sebab kami terpaksa membelakangkan semua perkara termasuk makan tengah hari dan malam malah keluarga serta kesihatan sendiri.

“Ketiadaan kami mengakibatkan lebih bebanan kepada orang lain,” katanya.

Dr Vijay turut mempersoalkan mengapa perkhidmatan awam hari ini dilihat menyasarkan kumpulan pekerja dalam industri kesihatan.

“Kami adalah satu-satunya bidang pekerjaan profesional yang mempunyai junior lantikan kontrak dan hari ini kami pula berdepan dengan pengurangan inisiatif sedemikian.

“Bagi MMA bebanan yang ditanggung doktor junior ini adalah tidak adil,” katanya.

JPA menerusi pekelilingnya Jumaat lalu mengumumkan bakal memansuhkan lapan elaun bermula tahun depan antaranya BIPK, Bayaran Insentif Angkat Najis, Bayaran Insentif Menaip Jawi, Elaun Keraian kepada Setiausaha Sulit dan Setiausaha Sulit Kanan serta beberapa elaun lagi.

Disiarkan pada: December 27, 2019 @ 5:50am
d