utama

'Korban nyawa' demi adik

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

REMAJA lelaki lemas ketika cuba menyelamatkan adiknya di sungai Kampung Salor, Batu Melintang, dekat Jeli, hari ini.

Mayat mangsa, Muhamad Danish Haikal Mohd Rosdi, 15, yang juga pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Balah ditemui pada 11.25 pagi pada jarak lima meter dari tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Ariffin berkata, sebelum itu mangsa yang tinggal di Kampung Tunku Abdul Rahman, Kuala Balah, Jeli pergi ke rumah neneknya di Kampung Salor, semalam.

Beliau berkata, pada 11 pagi hari ini, mangsa berkelah bersama keluarga dan saudara mara di Sungai Kampung Salor dan pada 11.15 pagi, remaja itu mandi bersama adiknya.

“Ketika kejadian mangsa cuba menyelamatkan adiknya berusia 12 tahun yang hampir lemas. Menerusi bantuan sepupu mereka, adik mangsa berjaya ditarik naik ke kawasan air cetek.

“Bagaimanapun mangsa tidak sempat diselamatkan dan tenggelam dalam air.

“Usaha mencari dan menyelamat dijalankan keluarga dengan dibantu penduduk kampung dan remaja itu ditemui lebih kurang 10 minit kemudian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Jeli untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga.

Disiarkan pada: December 27, 2019 @ 10:30pm
d