utama

'Bank' kumpul saham akhirat

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

PONDOK Warga Emas Nurul Hasanah ibarat ‘bank’ mengumpul saham akhirat kepada 97 penghuninya menerusi pembelian rumah wakaf untuk mempelajari al-Quran.

Ini kerana pewakaf turut mendapat pahala berterusan apabila pondok itu diwakafkan kepada pelajar lain yang mempelajari Kalam Allah di pondok berkenaan selepas mereka meninggal dunia atau tidak dapat meneruskan kelas al-Quran disebabkan masalah kesihatan.

Timbalan Mudir Pondok Warga Emas Nurul Hasanah, Wan Ahmad Syakirin Wan Ibrahim berkata, terdapat 102 rumah wakaf di pondok berkenaan yang beroperasi sejak 2011.

Menurutnya, pondok itu menempatkan 97 penghuni berusia 50 hingga 88 tahun dan penubuhannya diasaskan seorang penceramah bebas Yusri Abd Karim.

“Mereka perlu membeli rumah wakaf berharga RM35,000 dan RM45,000 serta mendudukinya sepanjang mempelajari al-Quran di sini.

“Waris akan dipanggil untuk diberikan penjelasan mengenai syarat pembelian rumah wakaf itu bagi mengelakkan timbul masalah di kemudian hari.

“Antara syarat ditetapkan ialah waris tidak boleh membuat sebarang tuntutan ke atas rumah ini jika pewakaf meninggal dunia atau tidak dapat meneruskan kelas al-Quran kerana masalah kesihatan,” katanya.

Tambahnya, setakat ini pencapaian membanggakan apabila dua penghuni warga emas pondok berkenaan berusia 65 dan 68 tahun berjaya menghafal tiga juzuk serta beberapa surah pilihan utama iaitu Al-Mulk, Sajadah, Yasin dan Ad-Dukhan.

“Kebolehan mereka menghafal tiga juzuk ini dan surah pilihan utama adalah pencapaian luar biasa bagi seorang warga emas.

“Kejayaan mereka diraikan dalam Majlis Konvokesyen Kali Kedua yang diadakan baru-baru ini,” katanya.

Jelasnya, penubuhan pondok itu bertujuan menyediakan peluang pembelajaran al-Quran secara teratur merangkumi tajwid, makhraj huruf, kelancaran bacaan dan Talaqqi Musafahah (mempelajari kalam Allah terus daripada sebutan guru) untuk warga emas serta kanak-kanak.

Disiarkan pada: December 29, 2019 @ 6:45am
d