utama

'Skateboard' hadiah ibu untuk Shabby

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

“SEPANJANG pengetahuan saya, Shabby tidak bermain ‘skateboard’ malah tidak pernah melihatnya menyimpan alat permainan itu.

“Mungkin dia baru mahu mencuba bermain kerana difahamkan ‘skateboard’ itu dihadiahkan oleh ibunya,” kata Azahari Hassan, 47.

Azahari adalah datuk saudara kepada Mohammad Farhan Fudhail Mohammad Farid, 16, yang meninggal dunia selepas terjatuh ketika bermain papan selaju di Townsville dekat Queensland, Australia, semalam.

Menurutnya, Mohammad Farhan yang lebih mesra dipanggil Shabby bercuti ke Australia bersama ahli keluarganya sejak awal Disember lalu dan dalam masa sama, melawat ibunya, Fhurzanatul Natasha Mohd Sazali, 30-an, yang bekerja sebagai jururawat.

Azahari berkata, dia mengetahui mengenai kejadian itu selepas menerima panggilan telefon daripada anak saudaranya dan sangat terkejut namun perlu reda.

Katanya, hubungannya dengan Shabby amat rapat memandangkan Mohammad Farhan dijaga oleh kakaknya, Mariati Hassan, 53, selepas ibu bapanya berpisah sejak kecil.

“Arwah seorang yang sangat rajin dan ringan tulang melakukan kerja-kerja rumah, dia anak yang tidak menyusahkan dan sangat menjaga perlakuan.

“Kehilangannya amat kami rasai. Jika diikutkan mereka sepatutnya pulang ke Kuantan pada 12 Januari ini kerana persekolahan Shabby di Sekolah Antarabangsa Kuantan, Indera Mahkota bermula 13 Januari,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kubang Buaya, Kuantan, hari ini.

Cerita Azahari lagi, pemergian Shabby disifatkan kehilangan berganda buat keluarga mereka selepas abang iparnya, Mohd Arif Abdullah Russell Machen, 63, meninggal dunia ketika bercuti di Bali, Indonesia pada awal November lalu.

Katanya, mereka sekeluarga memutuskan untuk membawa pulang jenazah Shabby dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan.

“Buat masa ini kami masih menunggu laporan bedah siasat dan tidak pasti bila jenazah akan diterbangkan pulang. Kami masih menanti perkembangan dari sana,” katanya.

Sementara itu, adik arwah, Farranazatul Fiqa, 15, menerusi Instagramnya, berkongsi beberapa gambar bersama arwah dan sajak, menunjukkan kesedihan atas kehilangan abangnya.

Sajak yang ditulis dalam bahasa Inggeris itu juga menyentuh kehilangan dua insan rapat dengan dirinya dan betapa pemergian Shabby yang disifatkan sangat disenangi semua, berlaku terlalu mengejut.

Berita berkaitan

Maut ketika bermain papan selaju

Wisma Putra sedia bantu bawa pulang jenazah

Disiarkan pada: December 29, 2019 @ 5:39pm
d