utama

Kasih Najatul pada mama dan abah

Oleh Nor Farhani Che Ad

SEAWAL usia 10 tahun, gadis ini sudah mengambil alih tugas ibu bapanya yang berstatus orang kurang upaya (OKU).

Nurul Najatul Aisyah Zakaria, 14, dari Flat Paya Nahu, Sungai Petani, menghabiskan usia remajanya menguruskan bapa, Zakaria Rahim, 46, dan ibu, Zulaina Kassan, 38, serta dua adik lelakinya, Muhammad Nabil Abid, 11, dan Muhammad Najib Adib, 8.

Najatul berkata, dia tidak pernah berasa terbeban sebaliknya bertanggungjawab memenuhi setiap keperluan keluarganya.

“Abah mengalami masalah lemah seluruh badan disebabkan penyakit saraf selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 1998. Mama pula lumpuh dari paras pinggang ke bawah.

“Sebelum ini, abah yang menguruskan kami adik-beradik walaupun dalam keadaan berkerusi roda,” katanya.

Katanya, semakin hari kesihatan bapa semakin merosot sehingga tidak lagi mampu menguruskan mereka.

“Saya bertanggungjawab untuk mengambil alih tugas dengan menjaga adik-adik, memasak dan menguruskan mama dan abah,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka, di sini.

Najatul berkata, setiap hari dia akan bangun seawal mungkin untuk menyiapkan keperluan ibu bapanya seperti sarapan serta memandikan mereka sebelum berangkat ke sekolah.

“Sudah menjadi rutin setiap pagi, saya akan menguruskan keperluan abah dan mama sambil dibantu dua adik sebelum kami ke sekolah.

“Ada masanya saya pernah terlewat ke sekolah, namun pihak sekolah sudah sedia maklum dengan keadaan keluarga kami,” katanya.

Sementara itu, Zakaria berkata, dia bersyukur dikurniakan anak-anak yang mudah diuruskan dan menerima keadaan mereka sekeluarga seadanya.

Katanya, apa yang membuatkan dirinya terkilan apabila dia yang dahulunya mengambil upah membaiki barangan elektrik kini sudah tidak mampu lagi mencari rezeki buat keluarganya.

“Ketika ini saya dan isteri bergantung dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Elaun Pekerja Cacat sebanyak RM400 seorang selain bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyara keluarga,” katanya.

Disiarkan pada: December 29, 2019 @ 6:05pm
d