utama

Cameron Highlands mini

Oleh Roselan Ab Malek

UMUM mengetahui pokok strawberi adalah tumbuhan tanah tinggi yang hidup subur di kawasan beriklim sejuk namun seorang penduduk di Taman Seri Embun dekat sini, membuktikan ia boleh hidup di kawasan panas.

Bermula dengan hanya enam pokok, sekeliling rumahnya kini dilatari pokok strawberi yang berbuah seolah-seolah mini Cameron Highlands.

Syed Norhaimi Syed Zin, 54, berkata dia tidak menyangka ia tumbuh subur di kawasan panas kerana sebelum ini hanya melihat strawberi banyak ditanam di lokasi sejuk seperti di Cameron Highlands saja.

“Saya mula berminat menanam strawberi apabila melihat rakan menanam beberapa pokok itu di rumahnya walaupun kawasannya panas.

“Saya sukakan cabaran selain gemar mencipta kelainan dalam bidang tanaman menyebabkan membeli enam pokok daripadanya untuk dicuba,” katanya, semalam.

Usaha gigihnya sejak dua tahun lalu menampakkan hasil apabila berjaya membiak lebih 1,000 pokok strawberi di sekeliling rumah.

Syed Norhaimi berkata, pada mulanya dia membiak strawberi jenis Japanese Sweet Charlie (JSC) yang dibeli daripada rakannya itu.

“Kemudian saya membeli strawberi Camarosa di Cameron Highlands untuk menguji sama ada varieti yang tumbuh di sana mampu hidup di kawasan panas.

“Nampaknya, strawberi daripada variety apa pun boleh hidup dan berbuah jika kita tahu menjaganya walaupun letak di kawasan terbuka atau berhujan berpanas tanpa rumah perlindungan seperti di Cameron Highlands,” katanya.

Katanya, strawberi yang ditanam dalam pasu di tempat terbuka itu senang dibiak melalui anak sulurnya.

“Saya pernah berdepan dugaan apabila dua kali gagal pada awalnya apabila dalam tempoh sebulan banyak pokok strawberi mati disebabkan serangan kulat dan penyakit.

“Kegagalan itu mendorong saya terus berusaha sehingga berjaya dan kini sudah dapat mengatasi masalah itu,” katanya.

Kini, rumahnya yang dipenuhi ribuan pokok berbuah merah itu bukan saja menjadi tumpuan penduduk dari daerah ini malah pengunjung dari Jengka, Temerloh dan Lipis.

“Mereka bukan sekadar melawat malah turut membeli benih strawberi selain mendapat khidmat nasihat cara menanam, penjagaan dan pembajaan.

“Malah, Pengarah Pertanian Pahang, Datuk Zahimi Hassan turut kagum dengan rimbunan pokok strawberi di rumah saya ketika melawat baru-baru ini,” katanya.

Disiarkan pada: December 30, 2019 @ 6:05am
d