utama

Berlakon tanpa kongkongan

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

TIDAK mudah putus asa dan gigih mencari peluang akhirnya membawa kejayaan buat Jasmine Suraya. Anak jati Kuching, Sarawak ini mampu tersenyum dengan tawaran berlakon yang tidak putus-putus diterimanya.

Bermula sebagai pengacara, Jasmine, 29, seterusnya memilih melebarkan langkah dalam bidang lakonan. Dia lega apabila berjaya mencuri tumpuan peminat dengan keberkesanan lakonan yang diperlihatkan.

Terbaru, Jasmine menyerlah lagi menerusi wataknya sebagai Suzie menerusi drama bersiri Adellea Sofea yang mula mencipta fenomena menerusi slot Akasia TV3.

Drama arahan Shahrulezad Mohameddin ini menampilkan Mira Filzah dan Ungku Ismail Aziz sebagai gandingan utama.

“Sebelum ini saya dapat perhatian ramai menerusi lakonan dalam drama Alamatnya Cinta dan Hero Seorang Cinderella.

“Tapi, kali ini reaksi yang lebih besar lagi diberikan penonton kerana saya kali pertama melakonkan watak antagonis untuk drama. Mereka dapat lihat bagaimana Suzie mengenakan Sofea (lakonan Mira) dengan karakter yang mengada-ngada.

“Saya terima tawaran ini kerana nak sangat bekerja dengan syarikat produksi Radius One terutama abang Ezad (Shahrulezad) kerana kerjanya bagus,” katanya.

Bagaimanapun kata Jasmine, apa yang dilihat penonton di kaca TV berbeza daripada karakter asal yang sepatutnya dibawakan.

“Saya diberitahu watak ini sangat berat dan dia seorang penagih dadah. Namun, ketika separuh perjalanan penggambaran dibuat, abang Ezad tukar jalan cerita dan skrip serta tambah banyak elemen untuk menjadikan naskhah ini lebih menarik.

“Apabila begini, kami langsung tiada skrip, tiada dialog dan tiada jadual tertentu untuk penggambaran. Semuanya ibarat ‘on the go’ sahaja.

“Ini pengalaman pertama saya bekerja cara begini. Namun, saya suka kerana saya rasa dapat berlakon dengan lebih baik tanpa kongkongan skrip serta rasa lebih bebas,” katanya.

Namun, kesukaran tetap ada daripada segi graf karakter dan ia menuntut Jasmine lebih peka dan fokus pada wataknya.

“Kami berlakon ikut lokasi. Sekejap kena habiskan untuk episod ini dan kemudian untuk episod lain pula.

“Jadi saya kena ingat dan faham banyak perkara antaranya intonasi suara. Skrip pun tiada memang susah nak ingat sequence babak dan perjalanan watak.

“Kalau ditanya proses hafal skrip, saya tak perlu buat apa pun. Apabila terbabit untuk sesuatu babak, abang Ezad suruh saya fikirkan sendiri apa dialog yang sesuai dan kena dengan situasi,” katanya.

Lulusan Sarjana Muda Sains Politik dan Ekonomi ini bersyukur dapat memuaskan hati peminat. Namun, Jasmin sedar belum berupaya mengatasi lakonan Mira yang dianggapnya hebat.

“Saya tak berani kata saya bagus kerana lakonan Mira memang terbaik. Pada saya semua yang terbabit melakukan kerja mereka dengan baik.

“Dengan situasi penggambaran yang saya ceritakan tadi, semua orang menggalas tanggungjawab dengan baik dan tak timbul isu siapa mengatasi sesiapa.

“Buat masa ini saya belum berpeluang bawa watak utama dalam drama. Tapi, ia bukan masalah kerana yang penting ialah keberkesanan kita membawakan sesuatu watak yang diberikan,” katanya.

Berkongsi perkembangan terkini, pelakon utama filem Paskal ini berkata, dia akan tampil dengan empat filem pada tahun depan.

“Filem-filem ini ialah Gadoh 2: Masterpiecisan arahan Nam Ron, Daulat, Marabahaya Underground dan Cinta Romusha.

“Rezeki saya tak pernah putus kerana tahun depan saya akan berlakon sebuah filem seram di Thailand bawah arahan pengarah dari Hong Kong. Saya dalam proses persiapan untuk projek ini. Syukur kerana produksi luar berminat dan tawarkan saya berlakon,” katanya.

Tawaran ini seakan-akan membuka pintu buat Jasmin yang menyimpan impian untuk mencipta nama di luar negara terutama Hollywood.

“Memang itu impian saya, tapi buat masa ini biar saya kukuhkan nama dan kedudukan di negara sendiri terlebih dahulu sebelum ke negara luar.

“Rasanya peminat Malaysia pun bukan 100 peratus kenal saya lagi. Selain itu, masih banyak produksi dan pengarah yang saya belum berkesempatan bekerjasama.

“Saya mementingkan kualiti dan akan pilih tawaran yang benar-benar dirasakan sesuai. Namun populariti juga perlu dicari kerana daripada sini baru kita akan dikejar penerbit,” katanya.

Dalam pada itu, Jasmine masih dibayangi cerita lama berkaitan pemakaiannya yang dikatakan sengaja mahu menarik perhatian peminat serta mengundang kontroversi.

“Masih ada yang mempertikaikan agama dan bangsa saya dan ambil kesempatan mengecam. Bagi saya rasanya itu tak penting kerana yang penting ialah kualiti lakonan saya. Namun, saya faham kenapa orang masih keliru dengan isu ini.

“Cuma selepas ini saya akan lebih berhati-hati dalam bab penampilan. Tapi, mereka tak tahu kadangkala saya kena pakai pakaian ciptaan pereka luar negara. Semua sudah disediakan dan saya kena ikut,” katanya.

Ditanya berkenaan nama Jasmine Suraya yang digunakannya, Jasmin berkata, nama ini diberikan ibu bapanya.

“Kekeliruan nama ini buat orang berminat nak ambil tahu siapa saya dan asal usul saya. Ketika dilahirkan nama saya ialah Suraya. Ia pilihan emak kerana kawan rapatnya yang tinggal di London bernama Suraya.

“Tapi, mendiang ayah fikirkan kurang sesuai dan letakkan nama Jasmine. Saya pula ambil keputusan tambah Chin di belakang nama ini,” katanya.

Disiarkan pada: December 31, 2019 @ 6:05am
d