utama

Bosan tengok muka sama...

Oleh Firdaus Hashim

SAINGAN Liga Malaysia (Liga M) bagi musim 2020 yang akan membuka tirainya pada 28 Februari depan kemungkinan berlangsung lebih suram daripada musim sebelumnya.

Ia berpunca daripada tiadanya faktor ‘wow’ menjelang musim baharu buat peminat bola sepak tanah air khususnya dalam penggunaan pemain import yang ‘dikitar semula’ oleh sebahagian besar pasukan liga tempatan.

Bekas pengurus Selangor, Zakaria Rahim berkata, berdasarkan senario semasa kebanyakan pasukan lebih gemar merekrut tonggak import baharu yang datangnya daripada pasukan Liga M musim lalu.

Jelasnya, masalah kekurangan bajet untuk membawa masuk bintang luar menjadi penghalang besar buat pasukan tempatan hingga terpaksa menggunakan awang import yang sama.

Katanya, walaupun dari satu sudut ia dilihat sebagai langkah berjimat cermat, beliau beranggapan situasi berkenaan akan lebih mendatangkan banyak ‘keburukan’ dengan stadium dijangka kosong tanpa kehadiran penyokong.

“Bila masuk musim baharu penyokong mesti nak tahu perkara baharu yang bakal dibawa oleh pasukan masing-masing seperti kehangatan datangnya pemain import baharu. Elemen ini penting kerana penyokong sudah tentu mahu lihat nama-nama besar atau nama pemain baharu yang mampu memberi nilai tambah kepada pasukan.

“Tapi, kalau asyik guna pemain yang sama pusing-pusing situ juga, orang dah tak mahu tengok. Contohnya macam , dulu dia main untuk
Kedah dan orang semua tertunggu-tunggu sebab nak tengok dia bermain.

“Tapi, sekarang kalau masuk pasukan lain, orang dah tahu cara dia bermain dan keghairahan untuk tengok dia dah hilang. Jadi, stadium takkan penuh sebab orang dah jemu tengok benda sama saja. Macam kita juga, kalau hari-hari makan menu yang sama akhirnya jemu dan tak nak makan. Sebab itu pasukan kena berani bawa import baharu bukan saja untuk kuatkan pasukan, malah beri keterujaan kepada penyokong juga,” katanya.

Kedah antara pasukan yang menggunakan import ‘kitar semula’ apabila membawa masuk Tchetche Kipre yang beraksi bersama Terengganu FC musim lalu serta Kpah Sherman dari PKNS FC.

Selain Kedah, beberapa lagi pasukan Liga Super turut ‘mengitar semula’ pemain seperti Perak (Guilherme De Paula dari Kuala Lumpur), Melaka United (Romel Morales dari PKNS FC), Johor Darul Ta’zim (Liridon dari Melaka United) dan Selangor (Safuwan Baharudin dari Pahang).

Zakaria yang pernah mengendalikan beberapa kelab amatur di Manchester, England selama enam tahun menegaskan, pelaburan membawa bintang ternama sebenarnya bukan perkara merugikan kerana ia mampu menarik kehadiran penyokong.

“Apa yang dilakukan kebanyakan pasukan Liga M silap kerana mereka tak nampak sekiranya ada bintang import baharu sudah tentu penyokong nak datang tengok beramai-ramai. Malah, penaja pun akan masuk untuk taja pasukan, tetapi kalau bawa pemain yang orang dah kenal siapa nak taja pasukan.

“Contoh lain macam Liverpool. Baru-baru ini mereka ambil pemain Jepun, Takumi Minamino yang orang tak kenal pun, tapi keterujaan penyokong mereka adalah nak tengok depan mata adakah dia mampu beraksi untuk Liverpool seperti (Mohamed) Salah,” katanya.

Disiarkan pada: December 31, 2019 @ 6:15am
d