utama

'Kejadian itu masih menghantui saya dan anak' [METROTV]

Oleh Hadzlihady Hassan

DIA antara yang bernasib baik dalam tragedi tembakan yang meragut 50 nyawa di masjid di Christchurch, New Zealand, 15 Mac lalu.

Walaupun sudah berbulan tragedi itu berlaku namun bagi jurutera robotik, Rahimi Ahmad, 39, tidak mampu melupakan peristiwa itu.

Insiden serangan di dua masjid di Christchurch, New Zealand itu mengorbankan 50 individu serta mencederakan puluhan yang lain termasuk tiga rakyat Malaysia, jam 1.40 tengah hari (waktu tempatan) pada 15 Mac lalu.

Laporan serangan masjid itu adalah antara berita yang menggemparkan masyarakat dunia sepanjang 2019.

Dalam temubual eksklusif dengan Harian Metro, Rahimi berkongsi trauma yang dihadapi sehingga tidak mampu turun daripada kereta dan menjejakkan kaki di Masjid Al Noor akibat trauma dan rasa sakit juga tiba-tiba datang.

Rahimi yang ditemui di rumahnya di Kampung Binjai, Bayan Lepas, Georgetown mengakui tragedi itu ternyata meninggalkan pelbagai kesan buatnya dan anak lelaki, Ahmad Razif, 11.

Menurutnya, dia mengambil kesempatan pulang ke Malaysia bersama isteri dan anak-anak untuk bertemu ahli keluarga selain menunaikan umrah.

"Kesan trauma yang saya hadapi masih dapat dirasai setiap kali saya menunaikan solat Jumaat di masjid ketika sebulan saya berada di negara ini lebih-lebih lagi ketika imam atau khatib membaca khutbah.

“Ketika khutbah dibaca, saya akan rasa seperti ada orang nak datang... namun perasaan itu lama kelamaan lenyap sendiri dan kini saya sudah boleh menunaikan solat Jumaat tanpa rasa bimbang," katanya

Ditanya sama ada dia boleh semula mengunjungi masjid tercetusnya tragedi hitam itu ketika pulang ke New Zealand, Rahimi berkata, dia belum mempunyai kekuatan untuk berbuat demikian.

“Saya pernah pergi bersama isteri, namun hanya duduk dalam kereta selama 10 minit, tak mampu turun... Bila cuba turun perasaan trauma mula menghantui dan rasa sakit juga tiba-tiba datang.

“Anak lelaki saya langsung tidak mahu menjejakkan kaki ke masjid itu.

“Dia juga tidak mahu mendengar atau mengenang kisah hitam itu jika ada orang memintanya menceritakan kembali kejadian itu,” katanya.

Selain Rahimi, dua lagi rakyat Malaysia tercedera dalam serangan itu ialah Mohd Tarmizi Shuib, 42, dari Alor Setar, Kedah dan Mohd Nazri Hisham Omar, 46, dari Shah Alam, Selangor.

Selain itu, Allahyarham Mohd Haziq, 17, anak kedua Mohd Tarmizi terkorban dalam serangan di Masjid Al Noor.

Disiarkan pada: December 31, 2019 @ 9:41pm
d