utama

Setahun bina nama

Oleh Syafil Syazwan Jefri

SIAPA sangka, dalam masa setahun nama kumpulan hip hop K Clique menjadi bualan ramai bukan sahaja peminat muzik genre itu tetapi juga seluruh industri muzik tanah air.

Mula mencipta nama menerusi single Mimpi menampilkan Alif, K Clique mendapat perhatian ramai peminat daripada pelbagai lapisan usia dan latar belakang.

Bagi kumpulan yang dianggotai MK, Noki, Tuju, Somean, KDeaf, FareedPF, Gnello dan NastyNas ini, mereka sekadar menyajikan karya buat peminat dan sekiranya ia diterima dengan baik, itu petanda baik buat kembara seni mereka.

“Kalau bercakap mengenai sebelum dan selepas nama K Clique dikenali, tentunya ia perjalanan yang panjang dan banyak perbezaan. Tahun 2019 menyaksikan kejayaan buat kami malah ia umpama mimpi jadi kenyataan,” kata Noki.

Ditanya sama ada timbul kerisauan dalam hati apabila nama mereka naik secara mendadak, Tuju yang mewakili rakan-rakannya berkata, perasaan itu memang ada.

“Tipulah kalau cakap kami tak risau. Bagi mengekalkan momentum seperti yang ada sekarang, itu satu tanggungjawab besar buat kami.

“Selama setahun mula dikenali, kami belajar untuk mengadaptasi diri kepada situasi ini. Kami akan teruskan K Clique seperti apa yang sudah dikenali peminat.

“Kami tak akan mengubah muzik kami. Muzik itu bebas dan kami akan terus hasilkan karya yang terbaik buat peminat,” katanya.

Berulang-alik dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur, K Clique merancang untuk terus kekal di sana dan ingin menjadikan kota itu sebagai tapak untuk mengembangkan industri seni selain di Kuala Lumpur.

“Kami tak ada perancangan untuk berhijrah dan menetap di Kuala Lumpur buat masa sekarang atas beberapa sebab. Salah satunya kerana keluarga kami semua di Sabah.

“Selain itu, kami ingin menjadikan Kota Kinabalu sebagai lokasi untuk kami kembangkan muzik dan menjadi tapak untuk industri seni tanah air selain di Kuala Lumpur.

“Kalau di Amerika Syarikat, pengkarya di sana boleh menghasilkan muzik di mana-mana dan tak hanya tertumpu di satu kota. Jadi, kenapa di Malaysia kita tak boleh buat begitu?” kata Tuju.

Menjelang Julai 2020, K Clique akan hadir dengan album sulung yang kini masih dalam proses pembikinan.

Ditanya jika ada tekanan buat mereka untuk menghasilkan karya sebaik Mimpi, Noki mengakui wujud rasa itu yang datang dari pelbagai sudut.

“Tekanan itu memang ada kerana kalau lagu Mimpi sudah diterima dengan baik, tentunya kami ingin berikan karya yang lebih baik berbanding sebelum ini.

“Tak hanya tertekan dari sudut penghasilan lagu tetapi juga ada tekanan dari segi penerimaan peminat kami selepas ini. Apa yang pasti, kami ingin hasilkan karya berkualiti,” katanya.

Terbaru, K Clique hadir membuat persembahan di acara Tempatan Festival Universe 2019 yang berlangsung di The Strand, Kota Damansara.

“Alhamdulillah, sambutan peminat di acara itu sangat menggalakkan. Paling membuatkan kami teruja adalah tenaga setiap penonton yang hadir.

“Kami beraksi di pentas dengan ‘menyerap’ tenaga penonton yang berada di bawah pentas. Kalau mereka berikan 100 peratus, kami yang membuat persembahan berikan 200 peratus tenaga,” katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2020 @ 6:01am
d