utama

Buku daftar 119 tahun

Oleh Yusmizal Dolah Aling

SEBUAH buku daftar penduduk Kampung Baru berusia 119 tahun yang berada di dalam simpanan Malay Agricultural Settlement (MAS) menjadi bukti betapa kawasan itu pernah menjadi lokasi mengumpulkan penduduk dari beberapa lokasi di Kepulauan Melayu.

Bertarikh pada 1900, ia mencatatkan senarai penduduk terawal di tanah kurniaan Sultan Selangor seluas 223 ekar yang menempatkan tujuh kampung iaitu Kampung Hujung Pasir, Kampung Periuk, Kampung Masjid, Kampung Pindah, Kampung Paya, Kampung Atas A dan Kampung Atas B.

Setiausaha MAS Shamsuri Suradi berkata, turut dicatat di ialah alamat, nombor lot serta nama penuh penduduk dan ia menjadi rujukan utama sehingga 1974 sebelum tertubuhnya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Kami berperanan sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengenai segala urusan pentadbiran sehingga kini bukan sahaja dari segi salasilah penduduk, malah pelan pembinaan rumah juga dirujuk kepada kami berdasarkan kuasa diperuntukkan.

“Jelas sekali sejak awal penubuhannya, Kampung Baru adalah berteraskan Melayu, penduduk asalnya dari Kepulauan Melayu, bercakap Melayu dan membudayakan adat Melayu.

“Itu kehebatan tanah yang dinamakan Kampung Baru yang menjadi benteng terakhir Melayu di ibu negara,” katanya.

Shamsuri berkata, sejak awal penubuhannya, Kampung Baru bukan saja menjadi tempat tinggal, malah pusat ekonomi orang Melayu yang mengusahakan pelbagai perniagaan seperti kedai runcit serta pelbagai lagi.

Katanya, masyarakat Kampung Baru terdiri daripada orang Minang, Minangkabau, Rawa, Mandailing, Johor dan Melaka dengan pelbagai kemahiran yang menjadi aset ketika itu.

“Sebab itu orang Kampung Baru sangat dihormati kerana kepelbagaian latar belakang. Nama ini sangat gah dalam kalangan orang Melayu, sentimentalnya begitu tinggi. Jadi bila sebut mengenai pembangunan, sudah tentu pelbagai reaksi timbul.

“Bagi MAS, kami tidak menolak pembangunan, tetapi ia perlu mengambil kira pendapat semua pihak termasuk pemilik tanah dan pewaris kerana mereka ada hak melihat tanah milik keturunan mereka memberikan hasil terbaik.

“Kerajaan perlu mengambil kira pandangan mereka juga,” katanya.

Selain buku daftar berkenaan, MAS turut menyimpan minit mesyuarat mengenai pengurusan di Kampung Baru serta minit jawatankuasa kali pertama yang membabitkan warga Jepun sebagai pegawai jajahan ketika pendudukan Jepun satu masa dulu.

Disiarkan pada: January 1, 2020 @ 6:10am
d