utama

Aidil, Chong King makin menjadi

Oleh Ferzalfie Fauzi

KETIKA tumpuan diberikan ke arah Lee Zii Jia dan naib juara beregu lelaki Seluruh England 2019, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, bekas pemain perseorangan negara, Roslin Hashim dilihat mempunyai pandangan berbeza untuk musim baharu.

Bekas pemain nombor satu dunia itu tidak sabar untuk melihat perkembangan terkini dan apa yang mampu disumbangkan oleh dua pemain pelapis, Lim Chong King serta Aidil Sholeh Ali Sadikin.

“Kita sudah tahu sebelum ini Datuk Misbun Sidek yang membimbing mereka, jadi tahun ini saya memang mahu melihat prestasi mereka, selain pemain senior lain,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Roslin yang pernah dibimbing Misbun mengakui kedua-dua pemain itu menunjukkan peningkatan walaupun hanya menyertai kejohanan kecil tahun lalu.

“Mereka berjaya mara sehingga ke perlawanan akhir kejohanan di Eropah dan bagi saya ia adalah satu peningkatan. Kalau tahap kejohanan yang mereka sertai tahun ini dinaikkan lagi, saya mahu mereka buktikan kemampuan.

“Boleh beraksi di kejohanan bertaraf 100 juga sudah memadai kerana ia bakal disertai pemain terbaik dunia. Jika mereka layak sehingga suku akhir ia juga sudah memadai dan pada masa sama mereka mengekalkan momentum di kejohanan kecil,” katanya.

Ditanya mengenai Zii Jia yang semakin hampir melayakkan diri ke Olimpik Tokyo 2020, Roslin berterus-terang bahawa adalah sukar buat pemain kelahiran Kedah itu untuk meraih pingat di temasya berkenaan.

“Bagi saya Zii Jia harus diberi masa lagi tiga tahun. Kebiasaannya pemain kita akan berada pada puncak prestasi ketika berusia 25 tahun sama seperti Datuk Lee Chong Wei dan saya sendiri.

“Tapi, kalau dia lebih cepat melonjak lagi bagus. Berdasarkan prestasinya setakat ini dia memang boleh melayakkan diri ke Olimpik, namun untuk meraih pingat adalah sukar, bukan calang-calang pemain yang akan beraksi di sana,” kata Roslin.

Beliau mengakui Zii Jia pernah melakukan kejutan terhadap bintang handalan dunia, namun pemain berusia 22 tahun itu tidak mempamerkan aksi konsisten tahun lalu.

Disiarkan pada: January 2, 2020 @ 6:30am
d