utama

Kejayaan tidak beri tekanan

Oleh Najiy Jefri

DIANGKAT sebagai Komposer Muda Berpotensi pada Anugerah Hak Cipta Malaysia (MACP) 2019 dan meraih penghargaan daripada Astro sebagai Uprising Komposer pada Konsert Throwbaek minggu lalu pastinya memberi semangat baharu kepada penyanyi Haqiem Rusli untuk terus mengembangkan bakat seninya.

Siapa sangka pada usia 21 tahun, kejayaan demi kejayaan dilakar penyanyi yang popular dengan lagu Tergantung Sepi ini selain berjaya menghasilkan 16 lagu.

Haqiem berkata, kejayaan yang diraih tahun lalu itu memberinya semangat untuk terus berkarya selain ingin mengajak anak muda untuk turut berusaha menghasilkan lagu.

“Saya anggap setiap kejayaan adalah penghormatan dan ia memberi saya lebih semangat untuk terus berkarya. Barangkali kejayaan ini juga dapat memberi suntikan kepada anak muda lain untuk terus berusaha dalam menempatkan diri dalam bidang hiburan.

“Saya percaya ramai yang sudah tahu pasang surut saya dalam industri muzik. Ia bukan jalan yang mudah, tetapi berkat kesabaran dan tidak mengenal putus asa saya harungi setiap liku itu dan berjaya sampai ke tahap ini.

“Jadi, saya harap artis baharu yang ingin mencuba nasib jangan sesekali putus asa. Apa yang penting adalah berusaha sehingga mendapat hasil terbaik,” katanya.

Menurut Haqiem, kejayaan itu tidak sedikit pun memberi tekanan kepadanya, tetapi ingin melebarkan lagi sayapnya.

“Mungkin orang cakap kejayaan adalah tekanan, tetapi saya pula menganggap ini semangat untuk buat lagu lebih banyak. Bukan hanya untuk saya atau penyanyi baharu, tetapi jika ada yang berminat saya terbuka.

“Saya juga mempunyai keinginan mencipta lagu untuk penyanyi popular tanah air. Jika ada peluang pasti saya cuba memberikan yang terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Haqiem juga bakal tampil dengan imej baharu bagi memperbaiki diri menjadi lebih baik.

“Saya akan tampil dengan benda baharu. Ia bukan kemunculan baharu, tetapi saya ingin memperbaiki benda yang baik dan menjadi lebih baik. Mungkin dari segi imej, gaya persembahan di pentas dan muzik yang dibawakan.

“Kalau boleh setiap tahun saya nak tampak berbeza. Saya nak berubah ke arah yang lebih baik setiap tahun. Bidang ini adalah minat saya, jadi sayang kalau saya sia-siakan setiap peluang yang diberikan.

“Tidak hanya itu, saya juga ingin mengintai peluang untuk mencuba nasib dalam bidang lakonan tahun ini. Bukan membawakan peranan besar, tapi teringin menimba pengalaman,” katanya.

Sebak di Madinah

Siapa sangka, berkat kerja kerasnya Haqiem berjaya menunaikan impian murninya dengan membawa keluarga besarnya menunaikan umrah pada akhir November lalu.

Menurut Haqiem, sebagai anak dia gembira apabila dapat menjalankan tanggungjawab terhadap ibu bapanya.

“Alhamdulillah perjalanan menunaikan umrah bersama keluarga berjalan dengan baik dan saya bersyukur impian untuk membawa keluarga tunai umrah tercapai.

“Saya sangat puas apabila dapat membawa keluarga tempoh hari. Satu kepuasan yang sangat maksimum dan sukar digambarkan.

“Malah banyak perkara yang saya tertanya-tanya dalam diri terjawab dan ia sangat privasi untuk dikongsikan. Namun semua benda itu adalah positif yang saya terima. Ini secara tidak langsung dapat membantu saya dalam mencari diri yang sebenar dan menjadi manusia lebih baik,” katanya.

Ditanya apakah saat paling manis ketika mengerjakan umrah, Haqiem berkata, ketika dia sebak ketika melakukan salam perpisahan di makam Rasulullah di Madinah.

“Entah kenapa tiba-tiba bulu roma saya meremang ketika melakukan salam perpisahan di makam baginda. Saya berpeluang mengerjakan solat di Raudhah dan mendoakan kesejahteraan diri , keluarga dan rakan,” katanya yang bakal tampil dengan single baharu bulan ini.

Disiarkan pada: January 4, 2020 @ 6:00am
d