utama

'Tak sangka disingkir'

Oleh Ferzalfie Fauzi

“SAYA tidak menjangkakan keputusan ini daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM),” luah pemain perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven selepas disingkirkan bersama enam lagi pemain semalam.

Bagaimanapun, juara Siri Antarabangsa Malaysia 2019 itu berkata, dia akan berusaha meningkatkan prestasi sebagai pemain profesional selepas ini.

“Saya hanya berpegang kepada satu perkara iaitu lakukan apa saja untuk negara. Saya juga akan sentiasa berjuang sehingga ke akhir. Sekarang saya hanya mengharapkan bantuan daripada penaja luar, sebab sekarang saya memerlukan sokongan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Semalam BAM yang menjalankan Projek 24 sejak September lalu, mengotakan janji untuk menyingkirkan pemain tidak mencapai prestasi seperti diharapkan sehingga Disember lalu.

Seramai tujuh pemain disingkirkan iaitu Joo Ven, Tan Jia Wei dan Ziyad Md Tah (perseorangan lelaki), Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (beregu lelaki) dan Lim Peiy Yee serta Lim Chiew Sien (beregu wanita).

Sementara itu, Ee Yi mengakui sedih tapi mengucapkan terima kasih kepada BAM.

“Sejak berusia 13 tahun di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) sehingga sekarang, saya memikirkan tanpa BAM kami tidak akan berada di sini. Mereka memberi peluang kami beraksi di kejohanan, mengajar dan menyediakan fasiliti terbaik.

“Kami tidak akan berasa kecewa dan tidak ada masa untuk bersedih. Kami harus bermula mencari penaja dan bekerja lebih keras untuk kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020. Akhir sekali apa yang ingin saya katakan saya akan merindui ‘rumah ini’ terutama barisan jurulatih serta rakan sepelatih,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, selepas melihat kepada Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) dan kriteria, mereka yang kekal akan dinilai sekali lagi untuk tempoh dua hingga tiga bulan sebelum ia diputuskan pada 30 April depan.

“Mereka yang tidak kekal akan diberikan notis sebulan dan kami akan tetap memberi sokongan kepada mereka sehingga 31 Januari ini,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM) semalam.

Menurut Kenny, mereka sudah melihat prestasi keseluruhan dan memberi peluang kepada pemain untuk membuktikan kemampuan masing-masing.

“Kita melihat prestasi melalui statistik yang dilakukan selama enam bulan atau tempoh setahun, ia keputusan yang sukar tapi perlu dilakukan untuk bergerak maju ke depan,” katanya.

Disiarkan pada: January 4, 2020 @ 6:01am
d