utama

Mulianya 'pemergianmu'... [METROTV]

Oleh Mahaizura Abd Malik

SUASANA hening di Masjid Gombak Utara, Gombak bertukar riuh apabila seorang jemaah lelaki rebah dan meninggal dunia sebelum azan Subuh berkumandang, hari ini.

Bilal masjid berkenaan, Md Zin Zakaria, 62, berkata kejadian berlaku pada 5.45 pagi ketika jemaah sedang bersiap untuk menunaikan solat Subuh.

“Keadaan sedikit kelam kabut apabila seorang jemaah terbaring.

“Dia baru saja menunaikan solat sunat dua rakaat sebelum rebah secara tiba-tiba,” katanya mengulas kematian jemaah di masjid terbabit, hari ini.

Beberapa keping gambar jemaah berkenaan terbaring di kelilingi jemaah masjid itu tular selepas dikongsi dalam kumpulan WhatsApp.

Menurutnya, mereka menghubungi talian kecemasan sebelum kematian lelaki itu disahkan seorang pembantu perubatan yang tiba bersama ambulans.

“Ini kejadian kali pertama membabitkan kematian jemaah berlaku dalam masjid ini.

“Lelaki ini istimewa, malah cara pemergiannya cukup menyentuh hati kami.

“Kami menyifatkan, pengakhirannya sungguh mulia dan dicemburui,” katanya.

Mengenai latar belakang jemaah itu, Md Zin berkata, lelaki terbabit berasal dari Madura, Indonesia dan menyewa di kawasan berkenaan.

“Dia selalu dilihat solat di masjid ini. Saya difahamkan isteri dan anaknya berada di Indonesia manakala dia menyewa bersama seorang rakan di Gombak.

“Jenazahnya akan dihantar pulang ke Madura selepas bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur,” katanya.

Disiarkan pada: January 4, 2020 @ 1:00pm
d