utama

'Saya tak buat sesuatu yang salah' [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

“SAYA tidak peduli komen negatif. Saya tak fikir pun saya lakukan sesuatu yang salah. Saya rasa sudah lakukan sesuatu yang sangat baik kepada masyarakat dan saya rasa gembira.”

Itu reaksi Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Dr Tan Yee Kew berhubung video tular beliau mengejek sambil menjelir lidah ketika berlakunya provokasi di Uptown Danau Kota, 2 Januari lalu.

Beliau berkata, baginya isu mengejek itu adalah remeh berbanding fokusnya menjaga kepentingan dan hak penjaja yang dipindahkan ke Bazaria Wangsa Maju berdekatan tapak lama seluas 1.2 hektar.

“Saya dapat banyak komen yang menyokong (di media sosial). Bagi orang luar atau cybertrooper yang dibayar untuk buat komen yang jahat itu, saya tak ambil berat.

“Saya dapat banyak komen yang bagus contohnya, Norsuhana Ishak berkata ‘ini wanita besi, dia selesaikan masalah penduduk Wangsa Maju dalam masa dua tahun jadi Ahli Parlimen sedangkan dua Ahli Parlimen lelaki sebelum ini tidak berani nak sentuh isu Uptown ini, teruskan usaha YB’.

“Saya fokus apa yang penting perlu dibuat di bawah kapasiti saya untuk diuruskan. Orang cakap apa (mengenai video aksinya yang tular) saya tak peduli. Apa yang penting ribuan anak buah saya di kawasan ini sekarang semua gembira masalah semakin terlerai dan kembali aman dengan 500 penjaja diberikan tapak baru lebih selesa lengkap kemudahan,” katanya.

Beliau yang ditemui di sidang media di pejabatnya menjelaskan, agenda utamanya adalah menyediakan tapak yang lebih tersusun, memberi lesen sah dan murah dengan meminimumkan gangguan kepada penduduk setempat.

Dalam sesi sama, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Wangsa Maju dan lapan subzon turut hadir menyatakan sokongan kepada beliau.

Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Wangsa Maju, Wan Mahadir Wan Mahmood berkata, Yee Kew turut gigih berusaha membebaskan penjaja daripada penindasan pihak ketiga serta kroni politik.

“Kami turut memandang serius tohmahan serta maklumat palsu disebarkan media sosial mengatakan Ahli Parlimen Wangsa Maju bersikap rasis.

“Realitinya hampir 95 peratus penjaja yang sudah diberikan tapak dan lesen adalah Melayu dan selebihnya Cina sebanyak 20 tapak serta India berjumlah enam tapak,” katanya.

Disiarkan pada: January 4, 2020 @ 9:17pm
d