utama

Tak bagi muka dah...

Oleh Firdaus Hashim

PENJELASAN pakar Undang-Undang Sukan dan Governans Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Jady Zaidi Hassim mengenai peluang pegawai serta pemain untuk menuntut tunggakan gaji masing-masing dianggap sebagai sesuatu yang sangat melegakan.

Itulah yang berlaku kepada bekas pengendali Terengganu City FC (TCFC), Mohd Noor Md Derus yang sedia mengheret isu tunggakan gajinya yang sudah berlanjutan hampir setahun ke mahkamah menerusi Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan.

Jelas Mohd Noor, pandangan Dr Jady itu adalah sesuatu yang baharu dan membuka matanya kerana selama ini, beliau tidak tahu bahawa peluangnya untuk menuntut haknya itu masih ada.

“Saya amat menghargai pandangan serta pendapat beliau (Dr Jady). Beliau menjelaskan bahawa usaha menuntut tunggakan gaji saya boleh dibuat menerusi kaedah Right To Livelihood.

“Ini adalah khabar yang sangat saya tunggu. Saya sedia mengheret bekas pemilik TCFC ke muka pengadilan,” katanya.

Katanya, sebelum ini, beliau tidak tahu mengenai peruntukan berkenaan kerana pada kadar biasa, semua tuntutan jurulatih atau pemain akan kembali dirujuk mahkamah kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang akhirnya menemui jalan buntu.

“Kami semua hanya tahu isu membabitkan tunggakan gaji kena melalui FAM. Tapi sudah setahun menunggu saya masih lagi tak dapat baki tunggakan gaji empat bulan daripada TCFC walaupun FAM sendiri keluarkan arahan kepada mereka.

“Tetapi kalau ada jalan lain (ke mahkamah) apa salahnya dan saya rasa kita boleh mencuba bagi mendapatkan hak,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menerusi laporan eksklusif Arena Metro kelmarin, Dr Jady mengaku pemain atau jurulatih masih memiliki jalan untuk menuntut gaji mereka meskipun pasukan atau kelab yang diwakili sudah menutup operasi.

Beliau yang juga konsultan dan penasihat FIFPro Asia (Kesatuan Pemain Bolasepak Asia) berkata, ramai pemain tidak menyedari atau tidak tahu kaedah ‘Right To Livelihood’ kerana setiap badan sukan sudah mempunyai statut sendiri bagi menangani isu tunggakan gaji.

Ujarnya, terdapat satu undang-undang yang melindungi rakyat Malaysia iaitu Perlembagaan di bawah ‘Right To Livelihood’ yang bermaksud mendapatkan kehidupan yang sejahtera.

Dalam definisi berkenaan, ‘Livelihood’ bermakna kehidupan di mana setiap rakyat Malaysia akan dilindungi oleh Perlembagaan bagi mendapatkan kesejahteraan.

Disiarkan pada: January 6, 2020 @ 6:01am
d