utama

Untung bela arnab

Oleh Mohd Rafi Mamat

DEMI minat dan impian untuk berjaya dalam bidang ternakan arnab pedaging, seorang pemuda sanggup meninggalkan tugas sebagai pegawai di sektor awam yang menjamin pendapatan setiap bulan.

Selepas lima tahun menceburi bidang itu, Muhamad Rizal Adha, 26, mampu berbangga dengan pencapaian yang diraih sebagai usahawan muda.

Dia yang menetap di Kampung Tok Machang Ulu Gali di sini berkata, bermula dengan hanya memiliki beberapa arnab hiasan kini dia menternak lebih 500 arnab pedaging jenis New Zealand White.

Muhamad Rizal yang pernah bertugas di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berkata, menternak arnab pedaging mudah dan tidak memerlukan modal serta perbelanjaan makanan terlalu besar berbanding ternakan lain seperti ayam, itik dan kambing.

“Namun, keuntungan hasil jualan daging segar amat memuaskan. Ketika ini permintaan daging arnab segar sangat menggalakkan hingga tidak mencukupi.

“Setiap bulan saya hanya mampu membekalkan antara 200 dan 250 kilogram sahaja.

“Walaupun dijual dengan harga RM35 sekilogram namun pasaran daging arnab sentiasa mendapat permintaan tinggi,” katanya.

Beliau yang juga bekas atlet silat olahraga Sukan Malaysia (Sukma) berkata, kos makanan bagi arnab pedaging antara RM13 dan RM19 apabila mencapai usia matang untuk disembelih.

Muhamad Rizal berkata, arnab pedaging yang mencapai berat dua kilogram keatas sahaja akan disembelih dan semua proses dilakukan sendiri dengan bantuan dua pekerja.

Dia yang memiliki Diploma Ukur Bahan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seri Iskandar, Perak berkata, dia mampu meraih pendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan hasil jualan daging arnab secara dalam talian.

“Selain menghasilkan sate dan beberapa jenis hidangan lain daging arnab juga dijadikan makanan kucing baka import oleh pemilik haiwan berkenaan.

“Saya yakin industri ternakan arnab pedaging mempunyai masa depan yang begitu cerah,” katanya yang turut membekalkan sangkar arnab di import dari China.

Bapa kepada empat cahaya mata itu turut menjadi pemborong getah beku di daerah ini untuk menambah pendapatan.

Disiarkan pada: January 6, 2020 @ 8:00am
d