utama

5 remaja disyaki rogol gadis sampai hamil

Oleh Juwan Riduan

LIMA remaja lelaki ditahan semalam selepas disyaki merogol gadis berusia 14 tahun sehingga hamil, pada November dan Disember lalu.

Suspek berusia 17 hingga 20 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan berasingan sekitar Manggatal, selepas bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Manggatal, Jumaat lalu.

Difahamkan, kejadian pertama berlaku November lalu apabila seorang suspek yang juga kekasih mangsa membawanya ke sebuah rumah di Taman Bukit Setia, Sepanggar lalu merogol mangsa bersama empat rakannya.

Kejadian kedua pada 25 Disember apabila sekali lagi mangsa dirogol oleh kekasihnya bersama dua lagi suspek.

Mangsa tidak memaklumkan kepada sesiapa dan dia menyedari dirinya mengandung selepas tidak datang haid.

Bapa mangsa yang mengetahui anaknya itu hamil sembilan minggu kemudian membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

"Berikutan itu, polis menjalankan siasatan dan menahan lima lelaki disyaki terbabit merogol mangsa di sekitar Manggatal.

"Dua lagi suspek yang masih bebas sedang dikesan dan siasatan sedang dijalankan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan iaitu merogol secara berkumpulan.

Disiarkan pada: January 6, 2020 @ 6:02pm
d