utama

PRK Kimanis: Itu program sedekah di Sandakan - SPRM

Oleh Suzianah jiffar dan Norasikin Daineh

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan gambar tular di media sosial mendakwa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memberi wang secara terbuka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, sebenarnya berlaku di Sandakan.

Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy berkata, SPRM Sabah turut menerima maklumat daripada orang awam dan sudah membuat siasatan awal berhubung isu berkenaan.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku 3 Januari lalu di Sandakan bersempena dengan program Pecah Tanah Pembesaran Lapangan Terbang Sandakan dan bukannya di Kimanis.

“Ia program sedekah kepada orang ramai selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Datuk Pangeran Galpam Sandakan yang disempurnakan oleh Ketua Menteri,” katanya menerusi satu kenyataannya di sini hari ini.

Isu penularan gambar hangat diperkatakan di media sosial baru-baru ini yang mendakwa Ketua Menteri Sabah memberi wang secara terbuka sempena PRK Parlimen Kimanis.

Semalam, Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) ketika mengulas mengenai gambar itu, turut menjelaskan bahawa beliau memberi sedekah itu di masjid di Sandakan, bukannya di Kimanis.

Mohd Shafie berkata, apabila menunaikan solat beliau memberi sedikit sedekah kepada penduduk kampung di situ kerana tahu mereka berhadapan dengan masalah.

Bagaimanapun Mohd Shafie berkata, ia bukan di Kimanis tetapi kejadian itu di Sandakan.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah dalam sidang akhbar di sini hari ini, mengesahkan dua laporan polis diterima selepas empat hari kempen PRK Kimanis bermula.

“Satu (laporan) disiasat oleh SPRM dan satu disiasat mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 cuba memberi sogokan.

“Siasatan akan dijalankan seperti biasa dan dipercepatkan sebelum dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya atau Pejabat Peguam Negara untuk mendapatkan arahan selanjutnya,” katanya ketika mengulas berhubung laporan polis dibuat sepanjang kempen PRK Kimanis.

Semalam, Pemuda UMNO Bahagian Beaufort membuat laporan polis di Balai Polis Beaufort, berhubung dakwaan salah laku pilihan raya selepas kempen bermula oleh WARISAN.

Laporan itu membabitkan pihak parti lawan memberi kupon makan dan minum pada satu majlis sambutan Krismas dan Tahun Baharu di Pekan Membakut pada 4 Januari lalu.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Disiarkan pada: January 7, 2020 @ 3:13pm
    d