utama

'Makin ramai wanita maki saya'

Oleh Rosyahaida Abdullah

“SAYA bukan saja lebih teruk diganggu malah dituduh bersubahat dengan media kononnya bagi menyelamatkan diri.

“Jika sebelum ini mungkin hanya puluhan wanita ‘menyerang’ saya, kini jumlahnya sudah beratus dengan semuanya memulakan ayat makian mengatakan saya penipu,” kata Hazman Halid, 41.

Hazman menerusi perkongsian pada awal bulan lalu pernah mendedahkan gambarnya di media sosial diperguna sindiket ‘Love Scam’ dipercayai berpangkalan di Nigeria untuk memperdaya wanita seluruh dunia termasuk Malaysia.

Biarpun sudah mengeluarkan kenyataan melalui media disertai laporan polis berhubung perkara itu, Hazman kesal apabila rata-rata mangsa masih tidak percaya sebaliknya berterusan menghantar mesej tuduhan malah mengancam mengganggu keluarganya.

Sambil menunjukkan mesej yang diterima melalui akaun Instagram kepada Harian Metro, Hazman berkata, dia sering kali menyarankan mangsa membuat laporan polis jika masih tidak berpuas hati.

“Berbanding membuat laporan polis, mereka sebaliknya memilih ‘menyerang’ saya bertalu-talu, menyindir dan memaki hamun.

“Hakikatnya, ada antara mereka sudah pun berkeluarga, mempunyai suami dan anak, jadi mungkin mereka malu jika perkara ini kecoh tetapi itu bukan bermakna mereka boleh berterusan mengganggu saya,” katanya.

Berkhidmat dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Vienna, Austria sejak lapan tahun lalu, Hazman berkata, terlalu mudah untuk polis menjejakinya jika benar dia bersalah memandangkan kedutaan Malaysia di sana mempunyai semua maklumat peribadinya.

Turut terbabit dalam tugasan membabitkan jenayah dan pemalsuan di bawah PBB, Hazman mengakui dapat menghidu modus operandi yang digunakan sindiket terbabit untuk memperdaya wanita.

“Mungkin inilah namanya cinta, walaupun pada saya modus operandi mereka (sindiket) tidak selicik mana malah tidak sepatutnya menjerat wanita, tetapi realitinya terlalu ramai menjadi mangsa.

“Ada wanita Malaysia yang ditipu sehingga RM200,000. Ada juga mangsa dari Brunei hilang RM100,000 selain beberapa lagi mangsa dari Filipina, Indonesia dan Amerika Selatan yang menyerang saya disebabkan ‘Love Scam’ ini namun sebahagian mereka kini percaya saya bukan dalang sebenar selepas kami berhubung.

“Logiknya, jika saya ingin menipu, pastilah saya tidak akan gunakan rupa sebenar saya kerana saya akan lebih mudah dikesan berbanding jika saya gunakan wajah palsu,” katanya.

Hazman berkata, selain terpaksa berdepan pelbagai tuduhan mangsa, dia juga tertekan ekoran akaun media sosial Facebook dan Instagram miliknya kerap disekat gara-gara perbuatan sindiket terbabit.

Ini kerana menurutnya, sindiket sentiasa mahu memastikan mangsa tidak menjumpai pemilik sebenar wajah yang dijaja untuk terus melakukan aktiviti penipuan itu.

“Daripada menggunakan nama palsu dengan wajah saya, kini sindiket terbabit sudah mula menggunakan nama sebenar saya pula apabila ‘kantoi’ dengan beberapa mangsa.

“Sejak masalah ini timbul pada awal 2018, sudah tidak terkira berapa kali saya terpaksa memuat naik gambar pasport saya untuk dapatkan semula akaun media sosial yang disekat akibat dilaporkan sindiket terbabit.

“Apabila kerap dilaporkan, akaun saya terus ditutup Instagram dan Facebook menyebabkan saya perlu membuat alamat emel baru untuk mendaftar semula dengan akaun berkenaan, rasanya sekurang-kurangnya sudah lima kali saya buka akaun baru.

“Saya sudah hilang punca apa yang perlu dilakukan untuk bersihkan nama saya. Kini saya cuma berharap tiada wanita yang akan tertipu lagi dengan sindiket terbabit terutamanya yang menggunakan wajah saya dan berhenti ganggu saya,” katanya.

Berita berkaitan

Tolong! Aku bukan dia!

Disiarkan pada: January 7, 2020 @ 7:00pm
d