utama

Saya ada bukti - Hanna

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

“SAYA mengetahui hubungan mereka pada November tahun lalu dan luluh hati saya apabila ditikam insan yang dianggap seperti adik dan suami sendiri,” kata Hanna, 34, wanita yang mendakwa Haziqah Nurul Huda Harun, 23, atau lebih dikenali Yaya, bercinta dengan suaminya, di media sosial.

Ibu tiga cahaya mata itu memuat naik hantaran di Facebook (FB) pada 9 pagi hari ini, mendakwa Haziqah Nurul Huda yang juga pengusaha kuih bakul halal mempunyai hubungan istimewa dengan suaminya.

Dakwaan itu menjadi perbualan hangat netizen sehingga mendapat 34,000 tanda suka, 26,000 komen dan 39,000 perkongsian setakat 4 petang.

Katanya, dia bukan mahu memburukkan atau memfitnah mana-mana pihak, sebaliknya mempunyai bukti Yaya bercinta dengan suaminya yang berusia 35 tahun.

Malah, pendedahan itu dibuatnya untuk memberi pengajaran kepada wanita lain supaya tidak menjadi mangsa sepertinya.

“Saya tahu apa yang saya buat. Sebelum saya memuat naik status itu, saya sudah fikir sedalam-dalamnya dan mendedahkan ia kerana mahu orang tahu hal sebenar.

“Saya tidak mahu ulas panjang kerana saya ada bukti dan akan panjangkan isu ini (bawa ke mahkamah) kerana dia menuduh saya memfitnahnya.

“Selain itu saya mahu membuktikan saya di pihak benar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hanna juga memaklumkan sudah memfailkan perceraian ke atas suaminya dan melantik peguam.

“Saya tidak mahu memikirkan hal ini kerana hati saya sudah tawar. Hubungan dengan suami pun dingin terutama selepas pendedahan itu,” katanya yang mendakwa sudah puas menasihati suami dan Yaya sebaik mengetahui hubungan mereka.

Ketika ini, dia menyerahkan semua urusan kepada peguamnya untuk tindakan lanjut.

Mengenai perkenalan dengan Yaya, Hanna berkata, dia mula mengenali wanita itu pada akhir Disember 2018 ketika menghadiri kursus berkaitan perniagaan di Kuala Lumpur.

“Daripada situ, saya berkawan dengannya kerana mahu dia mengenali dunia luar disebabkan sebelum ini, dia dakwa hidupnya hanya ada ibu bapa.

“Saya kasihan sebab dia tidak mempunyai kawan, malah dia sendiri mengaku tidak ramai kawan kerana takut dipergunakan.

“Tak sangka saya yang akhirnya menjadi mangsa,” katanya yang memberitahu pendedahan itu bukan untuk menjatuhkan Yaya tetapi demi diri dan anak-anaknya yang dianggap mangsa.

Berita berkaitan

Yaya nafi kahwin

'Hikmah jatuh di Tanah Suci'

'Yaya Tokoh OKU Maal Hijrah Terengganu'

'Kuih bakul Yaya lebar empayar'

'Alhamdulillah, rezeki Yaya bertambah'

Haziqah kuih bakul 'terbaik'

'Yaya gadis kuih bakul'

Disiarkan pada: January 8, 2020 @ 10:15pm
d