utama

Semua angkara penyokong...

Oleh Syazwan Msar

GARA-gara masalah yang ditimbulkan penyokong, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terpaksa menerima padah apabila didenda RM211,000 oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Denda berkenaan dikenakan kepada FAM selepas didapati gagal mengawal tingkah laku penyokong ketika Malaysia menentang Indonesia di Stadium Bukit Jalil pada 19 November lalu yang menyaksikan perlawanan terbabit dicemari pelbagai insiden kekecohan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam ketika dihubungi Arena Metro mengesahkan perkara terbabit serta akur dengan keputusan dan akan mengemukakan rayuan kepada FIFA dalam masa terdekat.

Beliau berkata, pihaknya juga akan meminta badan induk bola sepak dunia itu memberikan terma yang menyebabkan FAM didenda bagi mengetahui punca sebenar sebelum membuat rayuan.

“Kami akui perkara terbabit walaupun jika kekecohan itu bukan bermula daripada penyokong Malaysia namun sebagai tuan rumah kena bertanggungjawab terhadap apa juga yang berlaku. Namun, kerjasama semua pihak termasuk PDRM, FAM dan jawatankuasa keselamatan mampu mengekang sebarang insiden tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Selain denda, FAM diberikan amaran selepas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe tidak menghadiri sidang media membabitkan perlawanan berdepan Vietnam di Hanoi di mana ia melanggar Artikel 26 dalam undang-undang FIFA.

Sementara itu, Indonesia juga didenda 245,000 Swiss Franc (RM1 juta) oleh FIFA ekoran kekecohan yang disebabkan oleh penyokong mereka di Bukit Jalil selain ketika menentang Malaysia di Gelora Bung Karno, 5 September lalu.

Indonesia turut diberikan amaran oleh FIFA ekoran masalah yang berlaku ketika perlawanan berdepan Thailand pada 10 September sekali gus akan beraksi tanpa penyokong untuk aksi seterusnya.

Perlawanan keempat Kumpulan G, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Indonesia turut dicemari insiden kekecohan di luar Stadium Nasional Bukit Jalil sebaik perlawanan tamat.

Malah, perlawanan itu juga dicemari suar yang dibaling ke arah penyokong pasukan negara.

Berdasarkan rakaman video yang tular di media sosial, provokasi itu berlaku selepas pasukan negara mendahului menerusi jaringan Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-29.

Disiarkan pada: January 9, 2020 @ 6:05am
d