utama

Peluang menyinar di Musclemania Dunia 2020

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

NAMANYA mungkin tidak sehebat jaguh bina badan negara, Sazali Samad namun siapa sangka anak kelahiran Kuala Selangor berusia 34 tahun ini bakal menyertai Kejohanan Musclemania Dunia 2020 di Las Vegas, Amerika Syarikat tahun ini.

Muhd Ismail Ahmad sebelum ini tular di media sosial apabila menjadi johan empat kategori pada Kejohanan Musclemania Asia 2019 di Singapura pada 14 Disember lalu selepas mengenepikan 50 peserta lain dari India, China, Taiwan, Filipina, Jepun, Korea Selatan, Jamaica dan Amerika Syarikat.

Dia yang terbabit dengan sukan bina badan bagi kategori badan cantik sejak sembilan tahun lalu menggondol empat emas di Kejohanan Musclemania Asia 2019 iaitu Kategori Men Classic Physique dan Men Physique (174cm) selain dinobatkan Juara Antara Juara bagi kedua-dua kategori berkenaan.

Muhd Ismail berkata, dia giat menjalankan persiapan bagi menyertai kejohanan dunia itu dan berhasrat mahu mengharumkan nama negara di pentas bina badan berprestij itu.

“Sembilan tahun saya bergiat dalam sukan bina badan untuk kategori badan cantik dan akhirnya cita-cita saya untuk melayakkan diri ke kejohanan itu tertunai tahun ini.

“Tarikh sebenar kejohanan itu masih belum dimaklumkan namun penganjur meminta saya membuat persiapan bermula sekarang kerana kejohanan itu akan diadakan pada bila-bila masa saja.

“Cita-cita saya untuk ke kejohanan itu sudah tertunai, cuma tinggal hasrat menjadi johan seterusnya mengharumkan nama negara,” katanya ketika ditemui ketika berkunjung ke Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Dia berkata, pertama kali menyertai Kejohanan Musclemania Asia 2016 dalam kategori Men Physique tetapi hanya berjaya menduduki tempat kedua.

“Pada Kejohanan MusclemaniaAsia 2017 pula, saya berada di tempat pertama bagi kategori Men Physique tetapi tidak layak ke Kejohanan Musclemania Dunia 2018 kerana tidak dinobatkan sebagai Juara Antara Juara.

“Ini peluang keemasan saya untuk menyinar dan membuktikan anak Malaysia juga mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, dia tidak mendapat bantuan daripada mana-mana pihak sepanjang pembabitannya ketika menyertai kejohanan berkenaan.

“Saya mengambil inisiatif dan menggunakan wang sendiri sepenuhnya untuk menyertai kejohanan peringkat Asia manakala bagi Kejohanan Musclemania Dunia 2020 pula, kos perjalanan dan tempat tinggal akan dibiayai separuh oleh penganjur,” katanya.

Disiarkan pada: January 9, 2020 @ 8:15pm
d