utama

Derita bangsal buruk

Oleh Siti Rohana Idris

TIADA siapa menyangka bangsal buruk yang terletak jauh di dalam hutan di Kampung Bahagia di sini, dihuni empat beranak.

Bangsal yang berlantaikan tanah di bahagian dapur, dinding dan lantai berlubang serta bumbung banyak yang bocor dianggap ‘istana’ bagi Hafisah Kasim, 43, dan suami, Ibrahim Doni, 41, serta dua anak mereka, Norma Ibrahim, 10, dan Mohd Nasrullah, 7, berteduh sejak 10 tahun lalu.

Kedaifan mereka bukan hanya terzahir dari luaran kediaman, malah ia juga tidak dilengkapi bekalan air dan elektrik untuk menjalani kehidupan.

Mereka hanya menggunakan pelita sebagai sumber cahaya pada waktu malam hari, memasak dengan dapur kayu dan mengangkut air dari telaga yang terletak kira-kira 30 meter dari rumah.

Hafisah berkata, asalnya rumah yang tidak berpintu dan daun tingkap itu adalah milik penduduk kampung dan selepas keluarga itu berpindah, mereka menetap di situ.

“Kami tidak mampu membaik pulih rumah ini, cukuplah ia mampu melindungi kami daripada hujan dan panas.

“Dalam keadaan rumah yang tidak sempurna, kami perlu berwaspada dengan haiwan berbisa kerana pernah dimasuki ular senduk dan lipan.

“Malah, saya sendiri pernah terkena sengatan (lipan),” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Terdahulu mereka dikunjungi kumpulan aktivis masyarakat, Cempaka Merah Asnaf Society, diwakili Che Norhayati Mohamed yang menyampaikan sumbangan makanan.

Kemiskinan hidup yang dialami mereka sekeluarga turut dipikul dua anak yang tidak mampu ke sekolah akibat kedaifan hidup.

Hafisah berkata, kehidupan mereka bergantung yang sepenuhnya kepada suami yang hanya bekerja kampung, menyebabkan impian dua anak itu dianggap mimpi di siang hari.

“Usahkan hendak bersekolah, makan minum seharian pun tidak menentu, jika ada wang dapatlah membeli lauk, kalau tidak kami makan nasi kosong.

“Suami hanya boleh bekerja di sekitar kampung sahaja kerana tidak mempunyai kenderaan, itu juga antara faktor anak tidak dapat bersekolah kerana sukar untuk berulang-alik,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Mukim Mambong, Mohd Zain Abdul Rajib berkata, keluarga itu kerap menerima bantuan sama ada dari segi kewangan atau barang keperluan jika ada agihan yang dibuat.

“Permohonan mendapatkan rumah untuk mereka juga sudah diluluskan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

“Namun, pembinaannya belum dipastikan dan lokasinya agak jauh iaitu di Kampung Telekong memandangkan mereka tiada tanah sendiri.

“Dari segi bantuan lain seperti barang makanan dan kewangan, mereka tidak pernah dipinggirkan cuma kami hanya mampu memberi sekadar yang termampu dan apa yang diperuntukkan sahaja,” katanya.

Disiarkan pada: January 11, 2020 @ 6:15am
d