utama

'Saya tulis tanda nama Jawi TPM'- Ilham [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

TERHARU dan bangga apabila tanda nama Jawi yang ditulisnya dipakai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Itu perasaan Penolong Pengarah Bahagian Keurusetiaan dan Perhubungan Luar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ilham Che Daud, apabila Dr Wan Azizah menunjukkan tanda nama itu menerusi status Facebook milik beliau semalam.

“Bila melihat ia tersemat di baju pemimpin, saya rasa terharu. Ia menjadi pencetus semangat kepada kami penulis khat dan penggiat Jawi untuk terus memartabatkan tulisan ini.

“Ini kali kedua Dr Wan Azizah mengenakan tanda nama yang saya tulis. Dulu, ketika Karnival Rahmah 2019 dan terbaru semalam,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Ilham berkata, ia memberikan perangsang kepadanya untuk terus berkarya memartabatkan tulisan umat Islam dan Melayu di negara ini.

Katanya, projek menghasilkan tanda nama Jawi itu tercetus apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengarahkan kakitangan di bawah agensinya memakai setiap Jumaat.

“Sebahagian besar kakitangan JAKIM dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menggunakan tanda nama yang ditulis oleh saya.

“Saya bermula sudah lama. Apabila ada permintaan, saya buat hujung minggu dan bila ada masa lapang,” katanya.

Menurutnya, masa yang diambil untuk menghasilkan satu tanda nama adalah antara tiga hingga lima minit bergantung kepada saiz.

“Begitu juga dengan yang dipakai Dr Wan Azizah. Ia ditulis terlebih dulu sebelum dimasukkan ke dalam mesin khas untuk disunting.

“Kemudian ia dilorek menggunakan laser di atas tanda nama untuk hasil yang lebih baik.

“Insya-Allah saya akan terus buat lebih banyak untuk mempromosikan tulisan khat dan Jawi,” katanya yang mula menulis khat ketika bersekolah menengah.

Semalam, Dr Wan Azizah memuat naik gambarnya bersama tanda nama tulisan Jawi yang mendapat pelbagai ulasan memuji usaha beliau mempromosi penggunaan tanda nama berkenaan.

Disiarkan pada: January 11, 2020 @ 3:57pm
d