utama

Semoga rohnya dicucuri rahmat

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

JENAZAH penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Chendering Mohd Nor Hishamudin Nor Saidi, 21, yang lemas di Pantai Pandak, Chendering, Terengganu selamat dikebumikan jam 10.31 malam tadi.

Allahyarham adalah salah seorang daripada dua mangsa yang lemas ketika mandi di pantai itu bersama 13 penuntut lain sebelum mayatnya ditemui terapung kira-kira jam 9.50 malam kelmarin.

Jenazah yang diiringi ahli keluarga terdekat tiba di Masjid Al-Istiqlal Taman Mewah, Kamunting dari Hospital Sultanah Nur Zahirah, (HSNZ) Kuala Terengganu kira-kira 9.15 malam tadi untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang Seberang, Kamunting.

Bapanya Nor Saidi Ahmad Jailani berkata, tiada kelakuan pelik ditunjukkan oleh Allahyarham sebelum pemergiannya, namun tidak menyangka kelakuan aneh adik arwah, Nurliyana Dania, 9, yang mahu tidur bersendirian di bilik tidur abangnya bagai petanda anak kedua daripada empat beradik itu bakal pergi buat selama-lamanya.

“Nurliyana Dania kebiasaannya tidak tidur bersendirian kerana usianya masih kecil, namun seminggu sebelum kematian abangnya (Mohd Nor Hishamudin), dia gemar meminta untuk tidur berseorangan di bilik arwah abangnya memandangkan bilik itu tidak berpenghuni kerana arwah belajar di Terengganu.

“Saya juga terkilan kerana semalam (kelmarin) iaitu hari arwah ditemui lemas, saya sepatutnya mengirimkan melalui pos kepada Allahyarham baju batik yang sudah siap ditempah daripada kakak ipar saya untuk dipakainya dalam acara rasmi pasukan beruniform yang disertai pada hujung bulan ini.

“Namun tidak sangka saya tidak perlu lagi mengirimkannya selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengkebumian Allahyarham sebentar tadi.

Kira-kira 200 orang termasuk ahli keluarga dan sahabat menghadiri majlis pengebumian itu.

Nor Saidi yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pasar raya berkata, dia sekeluarga terkejut sebaik diberitahu anaknya dikhuatiri lemas lalu berikhtiar membaca surah Yasi di kediaman mereka sebelum mayat arwah ditemui terapung oleh pasukan penyelamat.

“Selepas ketua operasi menelefon saya untuk memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan dihentikan pada malam itu, tidak semena-mena selepas itu saya dimaklumkan bahawa mayat anak saya dijumpai.

“Alhamdulillah walaupun sedih kerana sudah tidak bernyawa, namun kami bersyukur kerana masih dapat menatap jasadnya,” katanya.

Berita berkaitan:

  • ‘Saya bagaikan mati hidup semula’
  • Solat hajat buat Tengku Muhammad Afiq
  • [UPDATE] Mayat seorang penuntut UiTM ditemui
  • Dua penuntut UiTM dikhuatiri lemas
  • Disiarkan pada: January 13, 2020 @ 12:41am
    d