utama

Komplot calar reputasi, Latheefa tak tergugat

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LATHEEFA Koya menegaskan dirinya tidak tergugat dan terancam dalam melaksanakan tugas, meskipun wujud komplot jenayah mahu mencalarkan reputasinya.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu percaya seorang peguam antara individu yang terbabit menjadi dalang di sebalik komplot itu selepas beliau membuat pendedahan mengenai rakaman audio konspirasi jenayah tertinggi, 8 Januari lalu.

“Kini, saya dapat tahu bahawa sebagai reaksi kepada pendedahan itu, satu komplot jenayah dimulakan untuk mereka (fabricate) dan mengedar material bertujuan untuk mencalar reputasi peribadi saya.

“Saya percaya seorang peguam antara yang terbabit menjadi dalang di sebalik komplot ini.

“Saya mahu menghantar satu mesej jelas kepada dalang di sebalik (isu) ini bahawa saya tidak tergugat atau terancam dalam terus melaksanakan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Latheefa berkata, pegawai khasnya akan membuat laporan esok, dan akan menyerahkan bukti berkenaan kepada pihak polis.

“Masyarakat umum sudah meletakkan kepercayaan tinggi terhadap SPRM untuk membersihkan negara ini daripada gejala rasuah.

“Saya bercadang untuk meneruskan tugas ini walau apapun serangan peribadi atau ugutan dibuat ke atas saya, kini atau pada masa akan datang,” katanya.

Disiarkan pada: January 13, 2020 @ 10:44pm
d