utama

Saring penumpang pesawat

Oleh Amir Mamat

SARING setiap penumpang kapal terbang terutama dari China yang memasuki negeri ini bagi mengelak penularan wabak Influenza A.

Itu antara langkah kerajaan negeri ini yang menempatkan pasukan kesihatan khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) bermula semalam, bagi memantau virus Influenza A.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong, berkata, pasukan daripada kakitangan Jabatan Kesihatan negeri akan membuat saringan terhadap setiap pelancong yang memasuki negeri ini di lapangan terbang berkenaan.

Katanya, setakat ini pasukan kesihatan khas hanya ditempatkan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Melaka memantau virus itu.

“Kita melihat ada keperluan untuk meletakkan pasukan kesihatan di LTAM bagi menyaring setiap penumpang, terutama dari China yang memasuki negeri ini.

“Meskipun virus itu di Melaka masih terkawal, namun kerajaan negeri mengambil langkah segera mengekang ia daripada menular,” katanya selepas menghadiri makan tengah hari bersama pekerja pembersihan di Jonker Street, di sini semalam.

Hadir sama, Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Tan Chin Gwan dan Penyelia Pembersihan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana, Mohd Khir Abd Mokhtar.

Kelmarin, Chee Leong dalam kenyataannya, berkata semua pelancong asing yang memasuki negeri ini melalui ICQS di Kota Laksamana, di sini, wajib melakukan ujian saringan dan pemantauan kesihatan.

Katanya, ujian saringan itu yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan bermula 6 Januari lalu, setakat ini hanya membabitkan pintu masuk antarabangsa di ICQS.

Disiarkan pada: January 14, 2020 @ 6:10am
d